Pemilik kedai tersebut, Muhammad Syahmi, meminta bantuan orang ramai menyebarkan video dan maklumat lelaki terbabit agar kejadian yang sama tidak berulang.
"Mohon viralkan orang ini sehingga saya selesai urusan dengannya. Dia telah melarikan barang kemas di kedai saya dengan jumlah yang banyak. Sekarang dia masih bebas dengan ikat jamin," katanya.
Berdasarkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, suspek pada awalnya berpura-pura melihat barang kemas di premis tersebut.
Suspek kemudian berpura-pura menggunakan telefon bimbitnya sambil memerhatikan keadaan premis itu. Selepas menyimpan telefon bimbit di poket seluarnya, suspek terus melarikan barang kemas tersebut.
Syahmi mendakwa, suspek berbuat demikian kerana mahu berkahwin dan tidak menolak kemungkinan berpakat dengan pasangannya kerana kedua-duanya melarikan diri selepas kejadian itu berlaku.
"Motif dia mencuri untuk kahwin baru. Mungkin juga berpakat dengan perempuan itu sebab sama-sama melarikan diri selepas hari kejadian.
"Dan dia konon ustaz berkelulusan dari Yaman. Dia berasal dari Shah Alam dan berkahwin dengan orang Mentakab, Pahang. Sekarang dia tinggal di Taman Bukit Mentakab.
"Dia naik kereta Perodua Alza berwarna biru dengan nombor pendaftaran BPK3587," katanya.
"Selagi saya tak dapat duit saya, post ini tidak akan dipadamkan. Mohon semua share sampai dia datang bayar balik jumlah (nilai barang kemas) itu.
"Kepada semua, sila berhati-hati dengan orang ini di kawasan sekitar. Takut kejadian berulang lagi di kemudian hari. Orang jenis malas bekerja mencari duit cara mudah," katanya.