'Kalau RM40 bolehlah, saya dah tunggu lama' - Sampai bila pemandu teksi nak amalkan sikap memilih pelanggan?


Hasrat lelaki ini untuk menggunakan perkhidmatan teksi terbantut apabila rata-rata pemandu teksi yang dihampirinya di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menolak untuk menghantarnya ke destinasi atas alasan terlalu dekat. 

Selain itu, mereka juga mengatakan mereka sudah menunggu lama dan tidak berbaloi menghantar penumpang ke destinasi jarak dekat. Lebih teruk lagi, ada yang tidak mahu menggunakan meter dan sewenang-wenangnya mengenakan caj RM40. 

Situasi seperti ini bukan kali pertama berlaku, pernah ditegur dan diviralkan di media sosial mengenai sikap segelintir pemandu teksi ini. Malangnya, mereka seperti tiada inisiatif untuk melakukan perubahan ke arah menyediakan perkhidmatan yang lebih baik. 

Apabila muncul perkhidmatan Grab, mulalah mereka mendakwa Grab menjejaskan periuk nasi mereka. Sedangkan rata-rata pengguna yang beralih ke Grab lebih berpuas hati dengan perkhidmatan itu yang dikatakan jauh lebih baik dari teksi. 

SAYA pulang dari Manila, Filipina, dua bulan lepas. Daripada KLIA, saya menaiki ERL dan berhenti di stesen Terminal Bersepadu Selatan (TBS). Di situ beratur teksi dekat 20 buah menunggu penumpang berhampiran stesen ERL.

Apabila saya berjalan melewati mereka, salah seorang pemandu bertanya, "Adik nak ke mana?". Saya memberitahu saya mahu pergi ke Bandar Sri Permaisuri.

"Dekat sangatlah dik," jawabnya ringkas.

Beliau tidak mahu menerima saya sebagai penumpang, mungkin kerana jarak dari BTS ke situ hanya 15 min. Saya cuba bertanya kepada pemandu teksi seterusnya. Namun, semuanya menolak.

Salah seorang abang tu berkata, "Kalau ke Puchong atau Kepong, bolehlah.". Nampaknya beliau sedang menunggu 'lubuk emas' seterusnya.

Dalam kepala saya pada waktu itu, bolehkah pemandu teksi memilih-milih penumpang? Dulu tak boleh, sekarang sudah boleh? 

Pakcik di sebelah hujung, bersetuju mengambil saya sebagai penumpang sambil bertanya, "Berapa adik boleh bayar?". Saya jawab, "Pakcik, kita bayar ikut meter lah."

Tetapi pakcik itu tidak setuju. Dia kata dia sudah menunggu lama. "Kalau RM40, bolehlah", pakcik itu cuba tawar menawar.

Dalam hati saya berkata, "Dah tolak semua penumpang, macam mana tak tunggu lama? Takkan nak tunggu ' lubuk emas' baru nak hantar penumpang? Punyalah banyak teksi menunggu di sini."

Saya membalas tawaran tersebut, "RM15 bolehlah pakcik.". Pakcik itu menggeleng-geleng kepala, tanda tidak mahu. Sekali lagi alasan yang sama, lama sudah menunggu dan tidak berbaloi katanya.

Kelihatan sekumpulan pembawa teksi Melayu sedang berborak-borak menunggu pelanggan di atas kerusi sambil menghisap rokok dan berbual kosong di hujung jalan. Semuanya tidak mahu menggunakan meter. Saya tanya kesemuanya, namun jawapan sama. Semua tidak mahu hantar kerana terlalu dekat. Rantaian teksi sebegini sangat panjang. Bagi saya, ia satu pembaziran masa. Lenguh juga saya berjalan ke jalan besar.

Akhirnya, saya ternampak seorang pemandu teksi Cina. Saya beritahu destinasi saya, tanpa banyak soal, beliau membuka meter dan saya pun masuk ke dalam teksi tersebut dan pulang. Mujur telefon bimbit saya habis bateri. Jika tidak sudah lama saya call Grab.