Dipenjara 2 bulan kerana masukkan anak saudara dalam mesin basuh


Lelaki yang memasukkan anak saudara lelakinya ke dalam mesin basuh di dobi layan diri di Bukit Sentosa pada 2 Oktober lalu dijatuhkan hukuman penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Baru, hari ini, lapor Harian Metro

Hakim Azmil Muntapha Abas menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Irwan Abdul Jalil, 27, selepas tertuduh menukar pengakuan bersalah dalam sebutan kes itu hari ini. 

Mengikut pertuduhan, Muhammad Irwan didakwa memasukkan Shah Raiqal Shahril Sharizal, 3, ke dalam mesin basuh di mana perbuatan itu dilakukan secara tergopoh-gopoh sehingga membahayakan keselamatan kanak-kanak itu. 

Muhammad Irwan melakukan perbautan itu di Kedai Dobi Laundrybar di Jalan Orkid 1G/2 Sek BS1 Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada jam 12.30 malam, 2 Oktober. 

Mahkamah memerintakan Muhammad Irwan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 3 Oktober lalu. 

Dakwaan kes itu dikemukakan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azhwa Yusrie Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. 


BERITA BERKAITAN: