'Orang awam boleh tangkap tetapi tak boleh cederakan penjenayah' - Polis


Mengikut Seksyen 27 Kanun Prosedur Jenayah, orang awam dibenarkan untuk menangkap penjenayah yang melakukan jenayah antaranya seperti bunuh, rogol, culik, rompak, samun dan ragut. Bagaimanapun, orang awam mempunyai had tertentu dan bukannya kewajipan untuk berbuat demikian, sebaliknya bergantung kepada kemampuan diri sendiri tanpa merisikokan keselamatan.

Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Daerah Ampang, Deputi Superintendan Kee Hang Kee berkata, orang awam mempunyai hak untuk menahan penjenayah apabila sesebuah kejadian itu berlaku di depan mata. Selepas ditahan, penjenayah itu perlu diserahkan kepada pihak polis serta-merta.

"Mengikut Seksyen 27 Kanun Prosedur orang awam boleh menahan penjenayah bagi kesalahan yang tidak memerlukan waran tangkap polis seperti bunuh, rogol, culik, rompak, pecah masuk premis, samun dan ragut.

"Tangkap penjenayah seadanya mengikut kemampuan dan tidak mencederakan penjenayah berkenaan. Jika penjenayah menyerang, orang awam boleh mempertahankan diri termasuk menggunakan senjata tanpa memberikan kecederaan yang mudarat kepada penjenayah,” katanya memetik dari laporan Harian Metro.

Jika sebaliknya yang berlaku, orang awam hanya akan mencari kesusahan dan boleh didakwa kerana bertindak melampau kerana mencederakan penjenayah, termasuk sehingga menyebabkan kematian suspek. 

"Jika anda tidak mampu untuk melawan atau menangkap penjenayah, jangan cuba membahayakan diri sendiri kerana hak ini adalah pilihan dan bukannya kewajipan.

"Sejurus tahan, terus hubungi polis dan jangan sesekali membawa penjenayah ke tempat lain. Tidak dibenarkan mencederakan penjenayah kerana sudah terdapat kes yang mana orang awam yang menangkap dituduh atas kesalahan mencederakan dan membunuh suspek," katanya.