Sekatan bank terhadap bekas suami culas bayar nafkah kepada bekas isteri dan anak


Kerajaan sedang mempertimbangkan tindakan lebih tegas termasuk cadangan mengenakan sekatan bank terhadap bekas suami yang didapati culas dalam memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak selepas perceraian, lapor Berita Harian

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, kerajaan sedang memperincikan pelaksanaan penguatkuasaan keadilan syariah yang memberi tumpuan kepada wanita yang diceraikan dan tidak mendapat pembelaan. 

"Kebanyakan wanita tidak ada tempat untuk mengadu dari segi penguatkuasaan, jadi kita melihat keperluan penguatkuasaan kepada wanita yang tidak diberikan keadilan dari sudut nafkah yang sudah diputuskan mahkamah syariah.

"Perkara itu sudah dibincang di peringkat Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), dibincang peringkat kami, dan saya harap penguatkuasaan itu perlu dipertingkatkan contohnya mengenakan sekatan bank, jadi kita perlukan penguatkuasaan ke atas suami yang liat untuk membayar nafkah kepada bekas isteri mereka," katanya.

Apabila ditanya mengenai jumlah dan peratusan lelaki yang gagal membayar nafkah seperti yang diperintahkan mahkamah, Mujahid tidak menafikan bahawa jumlahnya ramai tetapi beliau tidak mempunyai statistik itu pada waktu ini. 

"Ramai yang terbabit dalam hal ini berdasarkan aduan yang diterima daripada bekas isteri yang tidak dibela kerana kegagalan dan kecuaian suami untuk membayar nafkah yang sudah diputuskan mahkamah.

"Jadi kita perlu ada penguatkuasaan yang lebih tegas supaya mereka tahu bahawa keputusan mahkamah itu perlu dihormati dan kalau mereka tidak buat akan ada tindakan penguatkuasaan ke atas diri mereka," katanya.