'Datanglah tengok dia untuk kali terakhir' - Bengang bekas suami tak bagi nafkah, ibu letak bayi di luar rumah dalam cuaca sejuk


Bayi berusia tiga bulan tanpa seurat benang diletakkan di balkoni dalam keadaan cuaca sejuk oleh ibunya hanya kerana dia geram melihat bayi itu, lapor Daily Mail

Wanita berasal dari Rusia berusia lingkungan 20-an itu tergamak meninggalkan bayinya di luar sebelum merakam dan menghantar gambar mangsa kepada bekas suaminya, Aleksandr Potryasov, 28. 

"Datang dan tengok dia untuk kali terakhir. Aku buang dia di luar balkoni, biar dia kesejukan. Dia buat aku geram!" tulis Klimova dalam mesej yang dihantar kepada bekas suaminya itu. 

Aleksandr kemudian memuat naik gambar-gambar itu di media sosial yang menunjukkan mangsa yang diletakkan dalam bakul itu menangis kesejukan. 

"Saya muat naik gambar-gambar itu agar hak penjagaan anak yang diberikan kepada bekas isteri saya dapat ditarik balik. Selepas melihat gambar-gambar itu, saya bimbang dia akan melakukan perkara yang lebih teruk lagi. 

"Dia mungkin akan biarkan anak saya mati kesejukan dan campak mayatnya ke jalan," katanya. 

Jelas Aleksandr, dia tidak dapat menjaga anak perempuannya itu kerana dia terlalu kuat bekerja. 

Selepas gambar itu tersebar meluas di media sosial, Klimova pula mendakwa bekas suami meninggalkan dia dengan bayi mereka tanpa diberikan wang. 

Menurut jiran Klimova, Aleksandr meninggalkan Klimova sebaik saja bayi mereka dilahirkan dan berpindah ke bandar Volsk. 

Hubungan pasangan itu menjadi semakin teruk selepas mereka bercerai.

Polis mula menyiasat kejadian itu selepas gambar-gambar itu mula tersebar di media sosial. 

Jurucakap polis berkata, "Selepas menyiasat individu yang terlibat, kami mendapati gambar itu dirakam pada bulan Oktober tahun ini. Bayi itu telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan keadaannya sihat dan normal. 

"Ibu bayi berkenaan telah didakwa gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan telah dikenakan hukuman denda," katanya. 

Pada bulan Oktober, suhu di Balakovo dilaporkan menurun di bawah paras beku, ketika kejadian itu berlaku.