'Dia ejek muka saya hodoh dan hitam' - Remaja diperkosa sebelum dibunuh suspek


Berang pengakuan cintanya ditolak, seorang lelaki dari Sungkai Selatan, Indonesia, tergamak memperkosa dan membunuh rakan wanitanya, lapor Tribun News

Suspek, Wagiran, bertindak demikian kerana berang dengan mangsa yang tidak mahu menerima cintanya selain diejek hitam dan hodoh. 

Mangsa dilaporkan hilang pada Isnin, 1 Oktober 2018. 

Difahamkan, remaja berusia 15 tahun itu berkenalan dengan suspek melalui Facebook sebelum merancang untuk berjumpa pada 30 September 2018. 

Ketika berjumpa, suspek menjanjikan pekerjaan untuk mangsa di sebuah butik pakaian di Bungamayang. 

"Pertama, saya bawa dia jalan-jalan dulu. Dalam perjalanan, saya beritahu dia sebanyak tiga kali bahawa saya sukakan dia. Tetapi dia menolak, malah mengata saya hodoh dan hitam," kata suspek. 

Berang dengan ejekan itu, suspek kemudian membawa mangsa ke tempat yang sunyi lalu memperkosa dan mencekiknya sehingga mati. 


Selepas kejadian itu, keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan remaja berkenaan pada Isnin, 1 Oktober 2018. 

Bertindak di atas laporan itu, polis telah menjalankan siasatan sebelum menahan Wagiran. 

"Penahanan suspek hasil kerjasama dengan orang awam," kata Ketua Polis Sungkai Selatan, AKP Yaya Karyadi. 

"Berdasarkan keterangan suspek, dia melakukan jenayah itu seorang diri dan kita masih menyiasat kes ini," katanya.