'Jenazah yang hendak dibawa itu adalah kanak-kanak berusia 5 tahun mengalami pendarahan di kepala'


Semalam media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut akibat didera oleh ibu tirinya yang merupakan warganegara Indonesia. 

Pemeriksaan pada mayat mangsa menemui kesan lebam di badan, muka, dada dan belakang badannya. 

Siasatan polis mendapati, ibu tiri mangsa mengaku telah mendera kanak-kanak itu. Pasangan suami isteri itu kemudian ditahan untuk membantu siasatan lanjut. 

Kebetulan, pemandu van jenazah yang pernah viral sebelum ini memuat naik status di Facebooknya di mana ada seorang ibu tunggal yang dipercayai adalah ibu kandung mangsa dera, memohon bantuan mereka untuk membawa jenazah anaknya ke Rawang untuk dikebumikan. 

Menurut Mohd Zulhairi Zainol, jenazah yang hendak dibawa itu adalah jenazah kanak-kanak berusia lima tahun yang mengalami pendarahan di kepala. 

"Aku sentiasa bersyukur Ya Allah. Kau sentiasa menemukan aku dengan kes-kes sebegini, kes-kes waris yang kurang berkemampuan untuk kami sama-sama membantu. 

"Lanjutan kes malam tadi setelah posting dimuat naik untuk mencari van jenazah di Johor Bahru untuk dibawa balik ke Rawang. Hery ditemukan dengan satu kariah kampung Ulu Tiram yang sanggup bersama-sama membantu membawa jenazah ini ke Rawang tanpa sebarang caj. 

"Jam 4.46 pagi, van jenazah di JB berjumpa dengan kami di Tol Bangi kerana kami pula akan membantu membawa jenazah ke Rawang untuk dikebumikan. 



"Untuk pengetahuan kalian semua, jenazah ini budak berusia lima tahun, mengalami pendarahan di kepala. Ibunya datang dari Pulau Pinang ke JB untuk membantu urusan jenazah anaknya ditemani dengan rakan-rakannya.

"Dia tidak mempunyai kenderaan di JB, terpaksa book Grab pula ke hospital. Ibunya adalah seorang ibu tunggal.

"Setelah rakan-rakan cuba sedaya upaya mencari van jenazah seawal maghrib semalam sehingga buntu tidak tahu pada siapa hendak dicari. Alhamdulillah ada hamba Allah di hospital memberikan nombor telefon saya kepada waris. Alhamdulillah selesai urusan van jenazah dan kami selamat sampai di Rawang. 


"Terima kasih kariah Ulu Tiram, ramai yang membantu siap ada kenderaan lain yang ikut dari JB ke Bangi. Sumbangan RM700 diberikan kepada mereka untuk kos tol dan minyak, serta duit makan mereka, sumbangan adalah dari kalian semua yang tidak putus-putus membantu dari malam tadi. 

"So tugas amalteam pula untuk membantu membawa jenazah dikebumikan dan membantu waris dan rakannya ke stesen bas untuk pulang ke JB kerana ada benda berkaitan yang harus diselesaikan juga. 


"Ada benda yang saya tidak boleh jelaskan secara detail kerana untuk menjaga aib si waris terutama ibunya. Apa-apa pun terima kasih kepada rakan-rakan Facebook, volunteer Badang and Mirul membantu. Doakan urusan pengkebumian dipermudahkan," tulisnya. 


BERITA BERKAITAN: