'Kerajaan pusat bukan orang luar' kata PM, TMJ pula kata Tun M beri dua kenyataan bercanggah


4 Disember lalu, media melaporkan Kerajaan Johor telah membatalkan pewartaan Pulau Kukup sebagai teman negara yang dilindungi. Pulau Kukup yang terletak di Pontian sudah menjadi taman negara sejak 1997. 

Keputusan itu dibuat ketika mesyuarat exco pada 24 September lalu. 

Keesokan harinya, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil menjelaskan bahawa pembatalan pewartaan Pulau Kukup sebagai taman negara bagi membolehkannya diklasifikasikan sebagai tanah kesultanan. 

Baginda memberi jaminan bahawa Pulau Kukup, kawasan hutan paya bakau yang diiktiraf di peringkat antarabangsa akan terus menjadi sebagai sebuah taman. 

6 Disember, TMJ menegaskan isu tanah adalah hak multak kerajaan negeri dan tidak ada sebab untuk isu Pulau Kukup diperbesar-besarkan dan dipolitikkan. 

8 Disember, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar mengeluarkan kenyataan bahawa status Pulau Kukup sebagai Taman Negara perlu dikekalkan dan dipelihara demi faedah generasi masa kini dan masa depan. 

9 Disember, Kerajaan Johor mengumumkan Pulau Kukup akan kekal sebagai Taman Negara dan keputusan itu diambil selepas Menteri Besar Osman Sapian berbincang dengan Sultan Johor. 

Pada hari yang sama, MalaysiaKini melaporkan TMJ berkata, Dr Xavier tidak perlu masuk campur dalam isu status Pulau Kukup di negeri itu kerana isu tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri dan sebarang kenyataan atau surat daripada kerajaan persekutuan tidak bermakna apa-apa. 

"... sebagai orang luar, anda tidak payah menyibuk hal negeri Johor. Tidak kira apa kenyataan atau surat yang dikeluarkan, anda tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengatasi Perlembagaan Negeri Johor. 

"Jangan pergunakan isu ini sebagai helah untuk mengalihkan perhatian kerana anda tidak perform," katanya menerusi hantara di Facebook. 


Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan Pulau Kukup perlu dikekalkan sebagai hutan simpan paya bakau dan beliau juga berkata kerajaan bukan 'orang luar', ketika mengulas kenyataan TMJ yang menggesa Dr Xavier tidak menyibuk dalam hal ehwal negerinya. 

"Rakyat Malaysia bukan orang luar, kerajaan persekutuan bukan orang luar. Kita bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di seluruh negara," katanya. 

Sebagai respon kepada kenyataan Mahathir, TMJ membandingkan kenyataan Perdana Menteri berhubung isu Pulau Kukup dan isu tanah Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 29 November lalu, dianggap bercanggahan. 

"Pada 29 November, Perdana Menteri berkata hal tanah bawah kuasa kerajaan negeri dan kerajaan pusat tiada hak masuk campur. Dalam isu Pulau Kukup pula, beliau kata kerajaan pusat bukan 'orang luar' dan bertanggungjawab ke atas semua negeri. 

"Kenapa kerajaan pusat ingin masuk campur dalam hal tanah di Johor, tapi tidak mahu melakukan perkara sama dalam isu kuil di Selangor?

"Dalam tempoh 12 hari saja, Perdana Menteri memberi dua kenyataan bercanggah mengenai bidang kuasa kerajaan pusat mengenai urusan tanah di negeri berlainan," katanya melalui Facebook malam tadi. 

"Sehingga hari ini, tiada sesiapa pun yang mengeluarkan kenyataan mengenai pembangunan di Pulau Kukup. 

"Apa sebenarnya isu baru yang Perdana Menteri ingin sampaikan? Keputusan sama iaitu Pulau Kukup kekal sebagai Taman Negara Johor sudahpun dibuat oleh kerajaan negeri dan diperkenankan Sultan Johor sebelum ini. 

"Janganlah memperbesarkan perkara yang sebenarnya tiada isu demi untuk menutup kelemahan pentadbiran kerajaan pusat," katanya lagi. 

Sumber: MalaysiaKini