Lelaki pedofilia lakukan penderaan seksual terhadap 12 kanak-kanak perempuan dipenjara 16 tahun, 19 sebatan


Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 16 tahun dan 19 sebatan terhadap seorang lelaki pedofilia selepas dia mengaku bersalah melakukan serangan seksual terhadap 12 kanak-kanak perempuan berusia antara enam hingga 11 tahun. 

Hakim Wan Azimah Yaacob membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohammad Amir Mohd Layi, 21, dari Marang mengaku bersalah terhadap 16 pertuduhan itu dan berharap hukuman itu akan memberi keinsafan dan pengajaran kepadanya dan masyarakat agar tidak melakukan jenayah berkenaan. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a), Seksyen 14,(b), Seksyen 14(d) dan Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377E Kanun Keseksaan.

"Kesalahan yang dilakukan tertuduh bukan sahaja keji dan salah di sisi agama, tetapi juga tidak disukai masyarakat. Malah, tertuduh turut melakukan kekerasan dengan menarik dan mengugut mangsa ketika kejadian.

"Hukuman dijatuhkan dengan mengambil kira kepentingan awam, apatah lagi kesalahan ini membabitkan kanak-kanak yang kita sedia maklum tidak mampu mempertahankan diri.

"Kamu (tertuduh) masih muda dan saya harap hukuman ini akan benar-benar menginsafkan kamu dan tidak mengulangi kesalahan sama," katanya.

Mohammad Amir berdepan denngan enam pertuduhan membabitkan lima kanak-kanak perempuan berusia antara lapan hingga 11 tahun di beberapa lokasi di Kuala Terengganu dan Marang antara 1 Januari 2017 hingga 5 Mac lalu, selain didakwa melakukan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak berkenaan termasuk pornografi dan melakukan seks oral terhadap tertuduh. 

Tertuduh yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik juga didakwa empat pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan berusia tujuh dan 11 tahun di dua sekolah berasingan di Rusila dan Kelulut, Marang, antara 10 Julai 2017 hingga 18 Januari lalu.

Tertuduh turut berdepan enam lagi pertuduhan melakukan kesalahan itu terhadap lima kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 10 tahun di beberapa lokasi di Marang dan Kuala Terengganu antara 25 Februari 2017 hingga 26 Februari lalu.

Bagi semua kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara masing-masing sehingga tidak lebih 30, 20 tahun, 10 tahun dan lima tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud.

NSTP sebelum ini melaporkan, berpura-pura meminta mangsa menunjukkan tandas antara modus operandi lelaki yang dipercayai mengalami ‘penyakit’ pedofilia melepaskan nafsu batin menerusi penderaan seksual terhadap kanak-kanak perempuan.

Perbuatan lelaki yang dikatakan aktif melakukan jenayah itu sejak 2017 terbongkar selepas polis menerima laporan daripada seorang mangsa pada 27 Mac lalu.

Sumber: Harian Metro