'Anak hang dah selamat, semua dah selamat mandi darah' - Jerit suspek pada ibu mangsa


"Anak hang dah selamat, semua dah selamat mandi darah," demikian jeritan suspek yang membunuh dua beradik, Nurul Hanim Idris, 5, dan Mohammad Hafiz, 1, dalam kejadian jam 11.45 malam tadi di Kampung Tengah, Jalan Kuala Sungai, Yan. 

Lapor Kosmo, dua mangsa itu ditemui dalam keadaan berlumuran darah di atas katil di bilik di tingkat bawah oleh ibu mereka, Noorhasyelawati Yusoff, 37. 

Nurul Hanim ditemui dengan kesan tetakan di belakang badan, manakala adiknya, Mohammad Hafiz dikelar di bahagian leher. 

Menurut Noorhasyelawati, ketika kejadian itu dia dan dua anaknya sedang tidur di bilik tingkat bawah, manakala anak sulungnya, Mohammad Hakim, 7, tidur dengan neneknya di bilik bersebelahan. 

"Saya terjaga selepas terdengar suara lelaki memanggil nama suami, Idris Saad, 47, beberapa klai sebelum terkejut mendengar bunyi bising di ruang tamu. 

"Saya terus keluar dan ternampak suspek melibas abang ipar, Soberi Saad, 50, pada kiri muka sebelum suspek meluru ke arah saya dan cuba menikam perut, namun gagal kerana terlindung langsir," katanya. 

Noorhasyelawati kemudian terus keluar dari rumah dan meminta pertolongan dari ibu saudaranya di rumah bersebelahan sebelum suspek keluar dan menjerit bahawa dua orang anaknya telah 'selamat' dan bermandikan darah. 

"Saya berlari untuk melihat keadaan anak sebelum menemui mereka sudah kaku. Anak saya yang masih kecil dikelar pada leher. Saya tidak boleh angkat mereka kerana terlalu banyak darah di atas tilam," katanya yang masih sedih. 

Dalam laporan sebelum ini, suspek berjaya ditahan beberapa jam selepas kejadian dan siasatan awal mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau yang berkaitan dengan kes dadah. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: Kosmo