'Berhenti sebar gambar/video Moey, ia melukakan hati kami sekeluarga'


Pemandu Toyota Vios yang terbabit dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang sehingga menyebabkan kereta bekas rakan sekolahnya terjatuh ke dalam laut, hari ini menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Jaya. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Jaya, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, lelaki berusia 21 tahun itu dibawa oleh ahli keluarganya dan kini ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Suspek kemungkinan akan dibebaskan dengan jaminan polis petang ini sekiranya kita selesai mengambil keterangan daripadanya," katanya. 

Sementara itu, Dennis, abang kepada mendiang Moey Yun Peng, meminta semua pihak berhenti menyebarkan gambar dan video adiknya. 

"Saya mohon kepada semua pengguna laman sosial supaya menghentikan penyebaran gambar berserta video dan memadamkan perkara yang tidak baik mengenai mendiang dengan serta merta bagi menghormati perasaan kami sekeluarga. 

"Pemergian dia dalam keadaan seperti itu memberi tamparan besar buat kami, tetapi apa yang boleh kami buat kerana itu sudah berlaku dan perlu menerimanya. 


"Cuma apa yang kami minta, tolonglah jaga imej mendiang dengan berhenti menyebarkan gambar dan videonya dalam keadaan seperti itu kerana ia turut melukakan hati kami sekeluarga," katanya. 

Sumber: Harian Metro

BERITA BERKAITAN: