Hina bekas YDP Agong, 3 individu ditahan dan disiasat mengikut Akta Hasutan 1948


Polis mengesahkan tiga individu yang didakwa telah menghina bekas Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V, di media sosial baru-baru ini, telah ditahan semalam. 

Dalam kenyataan media Ketua Polis Negara Fuzi Harun berkata, Eric Liew Chee Ling, 46, Azham Akhtar Abdullah, 27, dan Nur Alia Astaman, 26, ditahan selepas pihaknya menerima beberapa laporan polis berhubung tindakan tiga individu berkenaan. 

Kesemua suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948. 

Fuzi juga memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial untuk memanipulasikan perletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong. 

"Orang ramai dinasihatkan menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat provokatif," katanya. 

Semalam, firma perunding persendirian, Pemandu Associates, telah menggantung seorang kakitangannya berkuat kuasa serta-merta selepas kerana memuat naik tweet berhubung perletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai YDP Agong.

Firma itu berbuat demikian selepas Tenaga Nasional Bhd dan firma teknologi Cisco ASEAN menggantung dua kakitangannya atas kesalahan yang sama. 

Sementara itu, Mediviron Group of Clinics mengesahkan seorang doktornya dari cawangan di Kajang, Dr Rupesh Muniandy, juga telah meletak jawatan kerana kesalahan sama. 

Mediviron berkata, Rupesh telah memuat naik komen dalam kapasiti peribadinya,bukannya mewakili pandangan pihak Mediviron.