Sebak hati seorang guru melihat anak muridnya yang memakai pakaian yang bukan sepadan dengan saiz badannya. Apabila diselidik, rupanya seragam sekolah itu milik abangnya yang kini sudah memasuki sekolah menengah.
Mohd Nasir Mohd Zain, guru di sebuah sekolah rendah di Sungai Petani, Kedah, menyedari keadaan murid terbabit pada hari ketiga sesi persekolahan 2019 bermula, Selasa lalu.
"Mengalir air mata bila melihat ada lagi yang dhaif. Lihat dari jauh, kenapa budak ini berjalan tak angkat kaki dan tangan pegang seluar. Bila panggil dan pergi dekat, tanya dia kenapa tak angkat kaki.
"Kasut besar, ustaz."
"Kasut siapa ni?"
"Kasut abang sekolah menengah."
"Kenapa pegang seluar?"
"Takut terjatuh seluar abang."
"Kasut dan seluar dipakai adalah milik abangnya yang dah ke sekolah menengah.
"Saya bawa dia ronda-ronda dan belikan semua pakaian seragam sekolah yang baru. Ada nampak keceriaan di wajahnya.
"Azam 2019, membahagiakan orang seramai mungkin. Bersyukurlah kepada Allah dengan apa yang kita ada," tulisnya dalam status di Facebook.
Memetik kenyataan beliau dari mStar Online, Mohd Nasir berkata, seluar yang dipakai murid terbabit terlalu besar sehingga dia terpaksa menyangkut cangkuk di bahagian tali tempat letak tali pinggang.
"Dia pakai seluar abang dia yang darjah enam tahun lepas. Saya kenal abang dia, sekarang dah tingkatan satu.
"Kehidupan mereka sekeluarga tahun lepas saya boleh kata susah, tapi tahun ini lagi susah," katanya.
Melihat keadaan murid terbabit, Mohd Nasir kemudian meminta kebenaran guru besar untuk membawa murid itu pergi membeli pakaian dan kasut sekolah baharu.
"Saya panggil dia dan terus bawa ke Kepala Batas. Saya belikan dia semua yang baharu. Dalam kereta, saya tengok dia senyum gembira," katanya.
Menurut Mohd Nasir, dia mahu membantu murid terbabit kerana dia tidak mahu kanak-kanak itu enggan datang ke sekolah kerana kedaifannya.
"Saya fikir kalau kita abaikan dia, bila dia naik darjah 4, 5, 6, dia dah ada perasaan malu. Jadi bila dia malu, dia takkan pergi sekolah. Bila tak pergi sekolah, masa depan dia hancur.
"Itu yang saya fikir. Sekarang bila darjah tiga memang dia tak ada perasaan malu kalau kawan-kawan ejek dia. Tapi bila usia dia dah makin meningkat, dia dah tahu erti malu," katanya.
Mohd Nasir juga menafikan dakwaan kononnya dia mahu menunjuk-nunjuk. Sebaliknya mahu semangat kental kanak-kanak terbabit menjadi inspirasi kepada orang lain.
Difahamkan, Mohd Nasir berhasrat menjadikan murid itu sebagai anak angkatnya.
Sumber: Mohd Nasir, mStar Online