'3 hari tidur di surau, dia kena kencing dengan kawan' - Bekas atlet berbasikal Para Malaysia dianiaya kawan


Pemenang pingat emas berbasikal lebuh raya kategori C1, C2, C3 (pelbagai kecacatan anggota) Sukan Para ASEAN Ke-9, Mohamad Syazwan Roshdi dipercayai hidup 'merempat' apabila dia ditemui menumpang di surau Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru. 

Bekas pelumba basikal negara, Rizal Tisin, memuat naik mengenai keadaan Syazwan itu berkata, dia pada awalnya secara tidak sengaja terserempak dengan Syazwan ketika singgah untuk solat Isyak di surau itu malam tadi. 

Menurut Rizal, Syazwan telah ditipu oleh kawannya yang berjanji mahu membantunya mencari pekerjaan di Singapura. Tetapi sehingga kini kawannya itu tidak muncul dan telah menyekatnya di aplikasi WhatsApp. 

"Si Syazwan ni dah tiga hari tidur kat surau JB CIQ tu sebab sudah kena kencing dengan kawan dia dari Singapore, kata nak tolong cari kerja kat sana. 

"Si Wan ni ulang alik tiga hari gigih nak juga cari kerja kat sana sebab dah janji dengan mak dia yang dia nak pergi kerja kat sana. Dan mak dia tak tahu yea dia tidur kat surau selama tiga hari tak mandi, tak makan dua hari. 

"Okey, sebab apa dia tak makan? Sebab hari pertama dia sampai, ada kawan atas kawan dia contact nak pinjam duit RM500 dan janji akan pulangkan selepas tengah hari. Korang rasa? 

"Wan ni gigih pergi gak transfer RM500 dan kawan dia bila dah dapat duit terus block contact si Syazwan ni. Dari dia ada RM700 bekal nak cari kerja di Singapura kononnya, dah tinggal RM200. Sekarang dah kering sebab dah habis guna tiga hari. 

"Aku tanya sebab apa tak balik Seremban terus? Of course lah duit dah habis dan parents dia tak ada kat Seremban pergi balik kampung kat Pahang sebab datuk dia nazak. Ayah Wan pun tak berapa sihat. 

"Dia punya kental tak nak susahkan parents dia, so dia senyap tiga hari tak beritahu parents dia yang dia tengah bapak struggle seorang di JB ni," katanya. 

Bersimpati dengan apa yang berlaku, Rizal membawa Syazwan pulang dan tinggal bersama dengannya buat sementara waktu dan sementara itu mencari jalan untuk membantunya. 

"Syazwan ni OKU, kedua-dua tangan dia kecil dan tak kuat macam kita. Nak makan pun straight mulut ke pinggan. Korang rasa apa kita perlu buat? Aku tak ada cara lain, so aku bawa dia balik lepak dengan aku kat rumah sementara cari jalan penyelesaian," katanya. 

Sementara itu, netizen menggesa pihak berkaitan tampil membantu Syazwan dan tidak mengabaikan bekas atlet para begitu sahaja. Tidak kurang juga ada yang mahu memberi sumbangan wang tunai kepada Syazwan. 


Sumber: Rizal Tisin