'Jumlah penjawat awam 1.7 juta terlalu besar dan perlu dikurangkan' - PM

Foto - Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, jumlah penjawat awam kini adalah seramai 1.7 juta adalah terlalu 'besar' dan perlu dikurangkan.

Menurut beliau, ketika meninggalkan pentadbiran negara pada 2003, jumlah penjawat awam ketika itu hanya satu juta sahaja. Tetapi meningkat mendadak sebanyak 700,000.

"Saya berpendapat, saiz pentadbiran kita itu terlalu besar. Sebaliknya dengan menggunakan teknologi maklumat, komputer dan sebagainya, kita boleh kurangkan saiz ini," katanya ketika diminta seorang anggota TLDM untuk berkongsi pandangannya bagaimana cara mengurangkan jumlah anggota perkhidmatan awam dalam sesi dialog bersama warga ATM di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur. 

Mahathir berkata, kerajaan berhasrat untuk membangunkan lebih banyak peluang pekerjaan di sektor swasta dengan gaji yang lebih lumayan seperti dalam sektor pembuatan. 

Dengan kaedah itu kelak dapat mengurangkan kebergantungan rakyat untuk bekerja di sektor awam. 

"Sebab itu kita perlu membangunkan negara kita dalam bidang pembuatan umpamanya supaya lebih ramai daripada orang kita berpindah daripada bekerja dengan kerajaan kepada kerja dengan swasta dan meningkatkan keupayaan mereka agar hasil kerja mereka lebih tinggi daripada menjadi pegawai biasa dalam kerajaan sahaja," katanya.