(Video) Suami kelar leher, belah perut isteri hamil kerana berang tidak dibenarkan periksa telefon bimbitnya


Gara-gara tidak diberi keizinan untuk melihat telefon bimbit, suami tergamak mengelar leher sebelum membelah perut isterinya yang sedang hamil dan mengambil bayi dari perut mangsa. 

Dalam kejadian jam 2 petang Khamis 21 Februari 2019 di Sungai Serut, Kota Bengkulu, Indonesia, polis berjaya menahan suspek tidak beberapa jauh dari lokasi kejadian. 

Polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk melakukan jenayah itu. 

Menurut sumber, Romi Sepriawan, 30, berang dengan tindakan isteri, Erni Susansi, 29, yang tidak membenarkannya melihat telefon bimbitnya, lalu mencetuskan pertengkaran. 


Romi kemudian keluar dari rumah dan kembali semula dengan membawa parang yang dipinjam dari jiran dengan alasan mahu mengopek buah kelapa. 

Selepas meminjam parang itu, Romi masuk ke dalam bilik tidur dan meletakkan parang itu di atas katil dan ditutup dengan selimut. 

Melihat suaminya masuk, mangsa terbangun dan sekali lagi pasangan itu bertengkar. Romi yang tidak dapat menahan kemarahannya kemudian mengambil parang itu terus menetak leher mangsa yang dalam posisi sedang tidur di atas katil. 

Setelah itu, Romi membelah perut Erni yang hamil dan mengambil bayi dari perutnya sebelum keluar dari rumah dan memberitahu jiran mengenai apa yang berlaku. Romi kemudian terus melarikan diri sebelum kembali semula ke rumah dan terus ditahan polis. 

Menurut Romi, sudah empat bulan Erni menetapkan telefonnya dikunci dengan password. Apabila Romi meminta password, Erni berkata dia tidak tahu. Curiga dengan jawapan itu, Romi meminta Erni berterus terang sahaja dan dia tidak akan marah. Tetapi Erni tetap enggan memberi password telefon bimbitnya. 

Keadaan itu berlarutan selama empat bulan. Apabila Romi menegur sikap isterinya itu, Erni tidak mahu mendengar dan terus masuk ke dalam bilik. 


Romi ditahan untuk siasatan dan akan didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh.