'Bantulah sembuhkan penyakit Daniel'


Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun terpaksa menanggung kesakitan akibat ketumbuhan misteri di bahagian belakang badannya.

Keadaan itu menyebabkan kehidupan seharian Muhammad Arshad Daniel Halim, terganggu sejak ia tumbuh beberapa tahun lalu yang kini saiznya semakin membesar. 

Difahamkan, anak ketiga daripada lima beradik itu tinggal bersama ibunya di Gua Musang, Kelantan.

Bapa saudaranya, Muhd Seha Wahab, 52, bimbang dengan keadaan Daniel itu yang juga tidak hadir ke sekolah gara-gara penyakit misteri itu. 

"Ia bermula dengan tanda lahir sewaktu dia berusia lapan tahun, benda itu mula membesar. Pernah dirujuk ke hospital tetapi mereka juga tidak boleh berbuat apa kerana katanya ia melibatkan risiko nyawa. 

"Dah doktor kata begitu, keluarga dia nak buat macam mana lagi? Ketumbuhan itu berdenyut seperti nadi. Setiap kali berdenyut, pasti akan keluar darah. Kalau pergi sekolah, darah akan melekat di pakaian seragamnya," kata Seha. 

Foto mStar Online
Daniel yang baru saja kematian bapanya pada Februari lalu dikatakan semakin teruk dan sudah kerap tidak hadir ke sekolah. 

Sudah puas keluarganya mencari penawar dengan harapan agar Daniel dapat sembuh seperti kanak-kanak yang lain, tetapi menemui kebuntuan.

"Benda itu sakit dan gatal, tak lena dia nak tidur. Hampir sebesar penumbuk juga ketumbuhan itu. Dia tidur pun kena mengiring. 

"Ada satu malam itu, keluar darah dan nanah sampai basah sehelai kain. 

"Kami ni bukanlah nak minta sumbangan, kalau ada orang bagi kami terima sahaja. Tapi apa yang lebih penting, mungkin ada pihak berkepakaran di luar sana yang boleh bantu untuk sembunhkan penyakit dialami Daniel," kata Seha.