Ibu tinggalkan anak perempuannya dalam rumah yang penuh sampah sarap dan lipas


Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemui dalam rumah pangsapuri yang penuh dengan sampah sarap dan lipas. 

Kanak-kanak yang digelar sebagai 'Mowgli Girl' itu tidak pandai berkomunikasi dan takut dengan air. 

Ketika ditemui, mangsa hanya bersendirian dan air serta elektrik di rumah itu telah dipotong kerana bil bulanan tidak dibayar. 

Dia yang diberi nama Lyubov (Cinta) itu mengalami dehidrasi dan tidak sihat selepas ditinggalkan oleh ibunya untuk tempoh yang sangat lama. 



Keadaan rumah itu sangat teruk sehingga polis terpaksa memakai sut perlindungan untuk memasuki rumah itu. 

Aktivis hak asasi kanak-kanak dan wanita, Anna Kuznetsova berkata, "Bila kami hulurkan buah atau makanan, dia akan hidu terlebih dahulu sebelum mengambilnya. Tak sanggup lihat keadaan dia seperti itu. 

"Dia tidak pernah diajar untuk tidur di atas katil, sukar untuk kami menidurkan dia. Dia juga takut dengan air," katanya. 


Rantai yang dipakai oleh Lyubov juga terbenam di lehernya dan difahamkan dia tidak pandai bercakap, hanya membuat bunyi sahaja, dipercayai tidak pernah didedahkan dengan dunia luar. 

Menurut jiran berdekatan, mereka hampir pengsan selepas melihat keadaan rumah itu yang kotor dan berbau busuk. 

"Polis terpaksa pakai sut pelindung. Sampah sarap mereput dan berbau busuk. 

"Budak itu duduk di tingkap dapur, memakai t-shirt dan tidak berseluar dalam. Dia menangis, tiada makanan. Lipas di merata-rata tempat," katanya. 



Menurut jiran itu lagi, lima tahun yang lalu dia ternampak penghuni wanita di rumah itu membawa pulang seorang bayi. Tetapi tidak berapa lama selepas itu dia menjelaskan bayi itu telah dihantar untuk tinggal bersama neneknya. Sementara suaminya pulang ke Ukraine. 

Namun kejadian sebaliknya berlaku di mana bayi itu masih berada di rumah tersebut dan tidak pernah dibawa melihat dunia luar sejak dari kecil. 


Selepas polis menyelamatkan kanak-kanak itu, ibunya pulang ke rumah dan ditahan oleh jiran bagi menghalangnya melarikan diri, lalu diserahkan kepada polis. 

Suspek ditahan dan akan didakwa atas cubaan membunuh anaknya sendiri. 

Sumber: Mirror