'Tak tahan hati aku tengok abah terlantar di lantai' - Pengawal Keselamatan dibelasah 3 lelaki muda yang disyaki mahu merompak


Seorang pengawal keselamatan cedera di bahagian muka selepas dipukul menggunakan kayu oleh sekumpulan lelaki. 

Dalam kejadian pada jam 1.10 pagi di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Bangi semalam, mangsa berusia 64 tahun ketika itu sedang membuat rondaan di lokasi. 

Namun salah seorang daripada lelaki terbabit memukulnya menggunakan kayu menyebabkan mangsa terjatuh dan hampir pengsan. 

Selepas beberapa minit membelasah mangsa, semua suspek melarikan diri dari tempat kejadian itu. 

Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Bangi sebelum pergi ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan. 

Difahamkan, mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dalam kejadian itu. 

Siasatan awal mendapati, suspek terbabit menaiki motosikal dan memakai topi keledar berpenutup penuh. 

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff mengesahkan kejadian itu dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata. 

Anak perempuan mangsa, Intan Yusof, turut berkongsi kejadian itu melalui Facebook. 

"Semoga pelaku yang buat ini, terjadi perkara yang sama dekat bapak kau macam ni. Tengok apa kau rasa. 

"Tak tahan hati aku tengok abah malam tadi, terlantar kat lantai dengan darah kemain banyak menitis. Bapak aku umur dah 60 lebih dah la hanat. Kau nak rompak situ, kau rompak la, tak payahlah nak pukul orang tua ni," katanya. 

Menurut Intan, bapanya dibelasah tiga lelaki muda dan dia hanya mengetahui kejadian itu selepas mendapat panggilan dari bapanya yang memaklumkan mengenai kejadian itu.