TPM mohon rakyat bersabar, beri peluang Kerajaan PH untuk 'cuci kotoran' yang ditinggalkan BN


Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru rakyat Malaysia agar bersabar dan memberi peluang kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menyelesaikan pelbagai masalah bawah pemerintahan kerajaan terdahulu.

Beliau berkata kerajaan mungkin memerlukan setahun ataupun tiga tahun, malah mungkin lebih daripada itu untuk memperbaiki negara yang telah berada bawah amalan kleptokrasi selama 61 tahun.

“Untuk memperbaiki sesuatu yang sudah lama bukan mudah, tiada ‘tongkat sakti’, tidak ada butang automatik yang anda boleh tekan (untuk selesaikan segala-galanya)…ia tidak berfungsi seperti itu…ia memerlukan kerja keras dan air mata dan harus diusahakan oleh semua orang rakyat Malaysia.

“Kita mesti bekerja keras untuk memperbaiki keadaan yang runcing dan proses ini mungkin mengambil masa lama lagi,” katanya semasa berucap pada Majlis Diaspora Bersama Rakyat Malaysia di Perancis di sini Ahad.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah turut menyeru komuniti dan pelajar Malaysia yang berada di Perancis untuk pulang ke tanah air bagi membantu membangunkan negara menerusi kepakaran dan pengetahuan masing-masing.

“Kita memerlukan semua diaspora Malaysia dari seluruh dunia untuk membantu membina Malaysia baharu,” katanya.- Bernama