(Video) 'Sebab tu lah saya tiba-tiba nak bunuh diri' - Kecewa cinta ditolak, pelajar Tingkatan 1 cuba terjun dari bumbung sekolah


Pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di Banting nekad cuba terjun dari bumbung tingkat dua bangunan sekolahnya semalam, mencetuskan kegemparan warga sekolah.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam satu tengah hari itu, remaja berusia 13 tahun itu dilaporkan kecewa selepas gadis yang disukainya tidak menerima cintanya dan dia sempat meluahkan kekecewaannya itu pada sekeping nota. 

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizah Tukiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.30 petang dan anggota polis bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Bomba dan Penyelamat dikerahkan ke lokasi kejadian. 


Setelah dipijuk hampir setengah jam, akhirnya pelajar itu berjaya diselamatkan walaupun mengalami kecederaan ringan ketika proses menyelamatkannya dilakukan, sebelum dihantar ke Hospital Banting untuk rawatan. 

"Siasatan mendapati pelajar ini mengaku untuk cuba membunuh diri kerana kecewa dengan seorang pelajar perempuan lain yang sebaya dengannya. 


"Mangsa mengatakan telah berjumpa dengan pelajar perempuan terbabit semalam untuk meluahkan perasaan cintanya, tetapi ditolak. 

"Pelajar perempuan itu memberi alasan bahawa dia tidak meminati mangsa dan lebih menyukai seorang pelajar lelaki lain. 


"Ekoran penolakan cinta itu, mangsa berasa putus asa dan mengambil keputusan untuk membunuh diri. 

"Mengikut keterangan gurunya, mangsa tidak ada sebarang masalah disiplin di sekolah dan merupakan pelajar yang baik serta pendiam," katanya. 

Sumber: Astro Awani