Aplikasi TikTok diharamkan kerana galakkan jenayah pedofilia, pornografi


Kerajaan India telah mengarahkan Google dan Apple menyekat aplikasi TikTok dari laman rasmi mereka selepas mendapat arahan dari mahkamah yang bimbang bahan berunsur lucah tersebar melalui aplikasi itu, lapor The Guardian

TikTok sebelum ini telah diharamkan di Bangladesh dan disaman oleh Amerika Syarikat kerana mengumpul data pengguna kanak-kanak secara tidak sah. 

Aplikasi itu yang mendakwa mempunyai 500 juta pengguna di serata dunia termasuk 120 juta di India, telah berusaha menghalang sekatan itu selepas mahkamah tinggi di Chennai mengeluarkan arahan untuk menyekatnya pada 3 April lalu.

Mahkamah Agung India pada Isnin, menolak rayuan TikTok untuk menggantung keputusan itu.  

Difahamkan, kes itu mula disuarakan oleh satu kumpulan aktivis yang mendakwa aplikasi itu menggalakkan jenayah pedofilia dan pornografi.

Menurut sumber industri berkata, Kementerian Informasi dan Teknologi kini telah mengeluarkan arahan kepada Google dan Apple untuk mengeluarkan aplikasi itu dari laman mereka. 

Semakan mendapati, Google telah mematuhi arahan tersebut, namun di laman Apple, aplikasi itu masih belum disekat. 

Aplikasi TikTok dimiliki oleh ByteDance yang berpangkalan di China, membolehkan penggunanya merakam dan berkongsi video pendek itu secara online.