'Ayah mati, mak lari ketika saya berumur 6 tahun'


Di usia masih bayi lagi dia sudah kehilangan bapa dan tidak sempat merasa kasih sayang seorang bapa. Ibunya pula bertindak meninggalkannya hanya kerana mahu berkahwin dengan lelaki lain. Apakah daya, anak ini terpaksa meneruskan hidupnya dengan datuk, nenek dan bapa saudaranya yang menjadi tulang belakang keluarga. 

Saban hari dia berjalan jauh ke tempat kerja bapa saudaranya untuk dihantar pulang ke rumah. Sesi persekolahannya tamat pada jam 1:00 petang, tetapi dia terpaksa menunggu sehingga lewat petang. Dengan perut yang lapar dan letih, tiada apa yang dapat dirungutkan melainkan berdepan dengan keadaan itu setiap hari. 

Semalam, hadirnya seorang wanita yang baik hati membantu menghantarnya pulang ke rumah. Syukur masih ada insan yang baik dan berhati mulia. 

TADI saya jumpa adik ini di tepi jalan, tengah berjalan kaki nak balik ke rumah dari sekolahnya. Saya tengok macam nak hujan, jadi saya berhenti dan tanya dia nak pergi ke mana. Dia kata nak ke Mydin. 

Mydin? Saya macam terkejut juga sebab jauhnya dia nak berjalan dari sekolah sampai ke Mydin. 

"Kenapa tak balik rumah?" soal saya.

"Abang saudara ambil saya dari Mydin untuk balik ke rumah. Abang saudara bawa van kilang. Kalau saya lambat, abang tak boleh ambil saya. Nanti saya kena jalan kaki balik rumah. Jauh aunty, saya lapar, dari pagi tak makan apa-apa," katanya.

Yelah, dah jam 3:30 petang, memang laparlah budak ini kan. Anak saya sendiri pun balik sekolah, minta makan. Inikan pula dia dari pagi sekolah, kemudian kelas tambahan pula untuk UPSR.

Saya ni dah jadi mak kan, mestilah saya nak tanya tentang mak ayah dia. Mana mak, mana ayah, kenapa biarkan dia berjalan seorang diri jauh begini? Ikutkan dari sekolah nak berjalan kaki sampai ke rumah dia, boleh makan masa 2 jam 30 minit baru sampai. Tapi kalau bawa kereta, sekejap saja dah sampai. 

"Ayah mati, aunty. Mak lari. Saya tinggal dengan datuk sama nenek. Datuk sakit jantung, nenek sudah tua," katanya. 

Korang dengar ayat ini korang tak terkejut ke? Ya Allah, Kau pertemukan aku dengan budak ini untuk apa? Kau nak menguji aku ke? 

"Mak lari waktu saya berumur enam tahun. Sekarang saya sudah berumur 12 tahun. Ayah mati sewaktu saya berumur satu tahun. Mak tinggalkan saya depan rumah nenek, mak lari sebab nak berkahwin dengan lelaki lain.

"Aunty, saya lapar, saya belum makan satu hari, aunty," katanya. 

"Okey, okey. Saya bawa awak pergi makan. Tapi awak ikut aunty hantar barang sekejap ya sebab aunty kena jumpa orang ni," lalu dia pun mengangguk setuju.

Saya bawa dia pergi ke drive thru McDonald's. Dia kata dia tak pernah makan McDonald's. Aduh, hati saya hancur. Dia pun mula cerita hari-hari dia bawa wang RM1.00 saja ke sekolah. 

Kadang-kadang kalau penat, lapar dan dahaga, dia akan tumpang tidur di depan Mydin itu. RM1.00 itu buat dia beli roti dan air di waktu rehat. Kadang-kadang di waktu senja baru dia sampai rumah. Padahal dia habis sekolah jam 1:00 petang.

Saya buat keputusan nak terus hantar dia ke rumah, tak nak hantar dia ke Mydin. Jadi, saya dapat berjumpa dengan nenek dia yang memang dah tua dan menjaga enam orang cucu. Mak dan ayah kepada cucu itu semuanya... hm... Entahlah, tak dapat saya nak cerita panjang tentang ibu bapa mereka. 

Nenek ini hanya berharap kepada bantuan kebajikan sahaja. Ada dapat bantuan KISS RM200, dapatlah beli barang sedikit. Sewa rumah RM700, itupun sedaya upaya mereka mencari duit. Sambil anak lelaki yang seorang itu kerja bawa van kilang. Maka dapatlah meringankan sedikit beban. 

Selebihnya jiran-jiran tolong bagi makanan, sabun atau apa-apa bentuk sumbangan. Tetapi takkanlah setiap hari orang yang sama nak membantu kan. 

Saya bukan nak meraih apa-apa pun sebenarnya. Tetapi kalau ada di antara anda yang membaca ini mahu menghulurkan sumbangan, insyaAllah kita dah meringankan beban seseorang yang lain. Jika anda mahu turut membantu, insyaAllah saya boleh menjadi orang tengahnya. Boleh salurkan sumbangan itu kepada saya dan saya akan hulurkan kepada nenek adik ini. Ada antara anda yang mahu membantu dari segi kewangan atau barangan atau makanan atau apa-apa sahaja, bolehlah menghubungi saya terus ye. 

Kita ringankan beban orang lain, insyaAllah Allah meringankan bebanan kita. Kesian adik ini. Semoga dia berjaya.