Apabila ditimpa musibah kecil atau besar, usahlah merungut tetapi redha dan berusaha untuk mendapatkan semula nikmat yang telah ditarik itu. Ini kerana, jika kita berterusan meluahkan rasa tidak puas hati, ia akan menyebabkan timbul rasa benci, murung, marah dan segala apa sifat yang negatif.
Tindakan seperti itu tidak membantu, malah menyulitkan lagi keadaan. Apa yang perlu dilakukan ialah, banyakkan bersabar, berdoa dan cuba menyelesaikan masalah tersebut dengan cara yang betul. Seperti yang berlaku pada bekas guru dan pegawai pendidikan ini, Abd Ghani Haron. Alhamdulillah beliau yang sebelum ini mengalami lumpuh, akhirnya telah sihat 100 peratus. Semoga perkongsian dari beliau ini memberi kesedaran kepada kita semua.
PETANG ini menziarah seorang rakan yang sakit. Katanya minor strok. Nampak sihat, tetapi sangat murung, tidak mahu makan sudah berminggu, tidak mahu bercakap walaupun boleh bercakap. Badan kurus dan tidur sahaja. Doktor dah sahkan tiada apa penyakit. Mata terbuka dan melihat sana sini, bila ditanya sekadar angguk dan geleng sahaja.
Dia pernah mengunjungi saya bulan lalu bertanya penyakit buah pinggang saya kerana dia bimbang kencing manis yang baru diketahui dialami olehnya akan merosak buah pinggang. Dia nampak sangat risau dan kemungkinan itu membawa kepada minor strok. Kemurungan yang teruk ini mungkin juga kerana kebimbangan yang berterusan bila terkena penyakit.
Saya nak mengulas hal ini. Bila sesuatu menimpa kita atau ditakdir pada kita, jangan timbulkan kerisauan yang amat sangat, janganlah terus bermati-matian nak keluar dari masalah, tetapi berusahalah untuk sesuaikan diri dengan situasi itu.
Kalau ditimpa penyakit, bersabar, bermuhasabah mungkin kafarah yang Allah berikan, mungkin ujian Allah, mungkin peringatan dan sebagainya. Allah timpakan mungkin untuk kita merasainya, laluinyalah dengan sabar. Jika rezekiNya kita terima dengan senyum lebar dan syukur, mengapa musibah yang ditimpakanNya tidak diterima dengan sabar dan syukur? Jangan memikir apa akan jadi kehadapan kerana itu dalam ilmu Allah, tetapi sesuaikan diri dengan penyakit, ubah tabiat pemakanan, kebiasaan dan berikhtiarlah sambil mengharap pertolongan Allah.
Kalau kena tukar tempat kerja, jangan habis masa berleter, mengumpat, mengutuk dok merayu, dok kerabat tangga kementerian, tak mahu buat kerja, akhirnya membawa kemurungan. Sebaliknya sesuaikan diri, Allah dah takdirkan mungkin di hujung jalan ada baiknya.
Jika kita ditimpa kehilangan harta, jangan gundah gulana, mencari bomoh, menengok menilik siapa yang curi, nak dapat balik harta. Berusahalah pada kadar sesuai dengan peraturan undang-undang. Jangan buat benda khurafat, syirik, reda dengan takdir Allah, sesuaikan diri dengan ketiadaan harta itu.
Ingat, setiap sesuatu yang terjadi adalah dengan izin Allah, maka redalah, bersabarlah kerana kemenangan kepada yang bersabar. That's better.
Jika takdir tiada zuriat, berusahalah pada kadar yang boleh tanpa langgar syarak, sambil sesuaikan diri, reda. Begitu juga jika dapat anak yang kurang pintar, kurang sihat, OKU, jangan terlalu sedih. Allah yang merancang dan perancanganNya lebih baik, itu janji Allah. Kita mungkin hanya dapat melihat hidup sehari dua, tetapi Allah yang menentukan hidup kita hingga akhir hayat.
Anda boleh contohkan dengan yang lain. Apa pun terjadi, sit down first, fikir ini takdir tuhan. Apa yang patut, kita usahakan mengikut syarak dan peraturan negara, selepas itu sesuaikan diri untuk menerima dan bersyukur dengan apa yang masih ada. Jangan terburu-buru. Kepayahan yang tertimpa akan menjadi lebih buruk jika kita bersusah hati, bertindak mengikut rasa, menggelupur nak segera keluar dari masalah.
Ingatlah jerat yang mengena pada kijang akan terus menjadi erat jika kijang itu meronta-ronta. Setiap sesuatu terjadi dengan kehendak dan izin Allah.
FIRMAN ALLAH YANG BERMAKSUD, "KAMU MERANCANG DAN AKU MERANCANG, PERANCANGAN AKU LEBIH BAIK". BERTAKWALAH KEPADA ALLAH.
Jika kita berpegang kepada hakikat ini, insyaallah semua masalah akan dilalui dengan mudahnya dengan pertolongan Allah juga.
Sebulan lebih yang lalu, saya diserang penyakit saraf hingga membawa kepada kelumpuhan yang menyebabkan saya terbaring di katil. Segalanya diurus dengan bantuan anak isteri. Solat pun sambil duduk. Berkerusi roda ke hospital. Namun saya redha, doa saya moga dikembalikan nikmat sihat. Saya banyakkan beristighfar.
Akhirnya, usaha saya bertemu dengan seorang pengamal perubaran Cina di Tongkang Yad, Alor Setar. Yang memicit belakang dan kaki, menarik lengan kira kira dua minit, saya terus disuruh berjalan. Alhamdulillah, saya boleh berjalan kembali. Latihan berjalan seterusnya yang saya buat di rumah. Akhirnya kini saya 100 peratus pulih.
Bersabarlah bila ditimpa musibah, reda, jangan gundah gulana. Banyakkan beristighfar, banyakkan doa, mohon dikembalikan nikmat yang ditarik balik.
Sumber: Abd Ghani Haron