Lelaki rogol anak tiri, rayu hukuman ringan kerana perlu sara keluarga & ada 2 anak kecil


Padah merogol anak tiri, seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan 30 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, lapor Harian Metro. 

Hakim Elesabet Paya Wan, menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 41 tahun yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. 

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 12 tahun 3 bulan di rumahnya di Bukit Ramai pada 19 April 2018, 24 Februari 2019 dan 11 Mac 2019. 

Mengikut fakta kes, ibu mangsa berusia 31 tahun menemui buku diari milik mangsa pada 26 Mac 2019 jam 7:40 malam di mana mangsa menulis bapa tirinya adalah individu jahat serta tidak pernah menjadi bapa kandung. 

Curiga dengan tulisan itu, wanita itu menyoal anaknya berhubung perkara itu sebelum mangsa membongkar perbuatan keji lelaki terbabit. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan. 

Timbalan Pendakwa Raya Lee Wai Yi, memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana tertuduh mengkhianati tanggungjawabnya untuk melindungi mangsa. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana dia perlu menanggung keluarga dan mempunyai dua orang anak yang masih kecil. 

Mahkamah menetapkan tertuduh dipenjara 18 tahun serta 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dan hukuman penjara berjalan serentak. 

Sumber: Harian Metro