'Muntah darah 2 kali' - Hati & limpa bayi berusia 2 bulan bengkak kerana terhidu asap rokok


Seorang bayi perempuan berusia dua bulan mengalami jangkitan kuman di paru-paru. Menurut doktor, kejadian itu berpunca daripada asap rokok dan udara di persekitaran yang tidak bersih. 

Keadaan itu menyebabkan organ dalamannya terjejas di mana hati dan limpa bengkak, berak 20 kali dan muntah darah. 

HARI keempat di sini. Jangkitan kuman pada paru-paru Delisya sangat teruk sehingga menjejaskan semua organ dalamannya. Bengkak hati dan limpa, pergi ke usus. 

Saya tanya doktor, apa punca sebenarnya anak saya menjadi begini? Sebab ia berlaku dengan mengejut, walhal anak saya sihat walafiat. 

Kejadian pertama, Delisya muntah darah sebanyak dua kali dan terus hantar ke unit kecemasan hospital. Doktor terus ambil kes dia sebab kritikal sangat. 

Bayi baru berusia dua bulan 15 hari muntah berdarah. Terus x-ray, scan, ultrasound dan macam-macam lagi treatment. Doktor sahkan baby saya terkena jangkitan kuman di paru-paru yang sangat teruk. 

Dipendekkan cerita, baby jadi begini punca utamanya adalah asap rokok dan persekitaran orang ramai di mana udaranya kotor. 

Paling sedih sebab suami saya tidak merokok dan rumah saya sendiri biasa. Doktor kata ini kejadian 2-3 minggu yang lalu sebab itu paru-paru dah teruk. 

Saya merayu kepada perokok, hormatilah ornag sekeliling anda yang tidak merokok kerana yang terkena tempiasnya adalah orang lain, yang menanggung penderitaannya orang lain. 

Selama tiga hari baby saya agak lemah. Saya mengadu pada Allah, menangis pada Allah, bagi kekuatan untuk baby saya melawan kuman jahat itu sebab organ dalaman dia dah diserang dengan kuman menyebabkan hati dan limpa bengkak, berjangkit ke usus menyebabkan dia berak sampai 20 kali sehari. 

Baru hari ini saya ada kekuatan untuk menceritakan tentang keadaan anak saya. Ramai kawan-kawan yang call dan WhatsApp semua tak dijawab sebab tiada kekuatan untuk membalasnya. 

Esok sepatutnya hari besar saya untuk konvo tamat belajar. Tapi apakan daya perancangan Allah lagi terbaik. Allah uji dengan sedikit ujian untuk dekatkan lagi diri kita padanya. 

Memang benar, bila kita ditimpa sedikit ujian barulah kita merayu-rayu pada Allah. Jadi sakit ini sebagai asbab untuk ibu Delisya lagi dekatkan diri dengan Penciptanya. Mohon doakan Delisya sembuh seperti sediakala.