Siapa cakap ibu mengandung tak perlu pakai tali keledar keselamatan? Ikut cara yang betul ini


Siapa cakap ibu mengandung tak perlu pakai tali keledar keselamatan? Jika ada, mungkin anda perlu membaca penjelasan daripada doktor ini ya kerana keselamatan ibu mengandung dan kandungannya adalah wajib diutamakan lebih-lebih lagi bila kandungan sudah membesar. 

Cara pemakaian tali keledar keselamatan untuk ibu hamil, saya terangkan seperti berikut: 

1. Bahagian melintang tali keledar keselamatan sepatutnya berada di bawah perut ibu hamil, dalam keadaan lurus dan tidak terbelit. 

Ini bagi memastikan tali pinggang itu memegang pada tulang punggung/pelvis dan tidak kena secara terus pada perut. 

Jika berlaku kemalangan, tali keledar itu berada di atas perut dikhuatiri boleh menyebabkan kecederaan pada organ dalaman seperti hati, limpa, usus dan pada rahim sendiri. 


2. Sentiasa memakai tali pinggang keledar keselamatan walaupun anda adalah penumpang yang duduk di bahagian belakang. Semasa nak adjust tali keledar itu, angkat perut sikit dan pastikan tali pinggang dalam keadaan lurus dan berada di atas paha tetapi di bawah perut. 

3. Ketatkan tali pinggang dan pastikan tali pinggang yang melintang di bawah perut adalah cukup ketat. 

4. Tali pinggang yang belah atas atau pada bahu sepatutnya berada di celah-celah payudara ibu. 

5. Jika ibu adalah pemandu sendiri, laraskan kedudukan stereng ke atas sikit. 

6. Tegakkan kerusi anda sebanyak yang mungkin. Kerusi yang terlalu rendah akan meninggikan risiko tali pinggang mencederakan rahim dalam kemalangan. Kerusi pemandu hendaklah ke belakang sedikit jauh dari beg udara (airbag). 

Tak payah beli pelbagai produk atau sponge untuk kaver perut kononnya dapat melindungi rahim sekiranya berlaku kemalangan. Kajian menunjukkan penggunaan tali pinggang yang betul dan tepat dapat mengurangkan kecederaan kepada orang mengandung tanpa menggunakan produk tambahan. 

Jangan bila mengandung saja, sibuk nak pakai tali keledar. Tak mengandung pun kena pakai juga. Janganlah terkial-kial memasang tali keledar keselamatan bila nampak abang polis atau JPJ. 

Malang tak berbau, kalau nak accident itu, memang accident juga. Sekurang-kurangnya tali pinggang keledar keselamatan itu dapat mengurangkan impak kemalangan. Perut yang besar itu tak berfungsi sebagai airbag.