'Tak ada masa layan fitnah socmed' - Abang Acap selar fitnah netizen kononnya Acap ditemui di Johor


"Satu Malaysia kena tipu, kononnya Acap hilang di Gopeng kena sorok bunian, jin dan hantu. Rupanya dia merajuk lari ke rumah kawannya di Johor. 

"Kahkahkah pecah temberang semua ustaz, bomoh, pawang kononnya ada makhluk mistik sorokkan dia. Kita tunggu kenyataan dari polis tak lama lagi," demikian dakwaan netizen, Eyda Dantes yang viral di media sosial mencetuskan pelbagai spekulasi dan reaksi netizen. 


Tidak kurang dengan itu, seorang lagi individu bernama Muhammad Mamzah juga memuat naik kenyataan yang seperti memberikan bayangan yang sama. 

"Jangan bersedih teman, kita semua sudah all out berikan yang terbaik. Tiada lain niat kita semua sama iaitu hendak membantu orang yang tengah susah dan kehilangan ahli keluarga. 

"Apa pun jawapannya yang akan dibongkarkan oleh pihak PDRM nanti, kita terima dengan hati terbuka. Yang pasti ia akan memusnahkan segala mak nenek teori alam ghaib yang merapu dan meraban. 

"Kami di sini mendoakan agar satu hari nanti saudara Ashraf tergerak hati hendak pulang dan dapat kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat," katanya.



Bagaimanapun, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain semalam menafikan kenyataan individu berkenaan dan menegaskan kes kehilangan Ashraf masih dalam siasatan.

"Kenyataan individu mengatakan dia membongkar dan polis sudah diberitahu adalah satu perkara yang tidak betul, malah dia tidak berjumpa kita sebaliknya terus menularkan kenyataan ke laman sosial, jadi jangan ambil peluang untuk mengeruhkan keadaan serta menjadikan situasi lebih kusut.

"Kita tidak mahu individu membuat tular yang tidak disertakan dengan fakta yang betul kerana siasatan kita lebih menjurus kepada fakta dan bukti tertentu," katanya. 

Sementara itu, abang mangsa, Denny Lang dalam kenyataan terkininya menyelar tindakan individu-individu berkenaan. 

"Kami Unit SAR hampir tidak punya masa untuk melayan fitnah di media sosial. Jika kamu jadikan kesedihan keluarga kami sebagai jenaka, maka layaklah kami andaikan bahawa hati kamu telah mati," katanya ringkas di Facebooknya. 


Sumber: Denny Lang, Harian Metro, Netizen