Baru-baru ini kecoh di media sosial seorang ahli perniagaan wanita membeli tudung bawal hitam berharga RM50,000 mengundang pelbagai reaksi netizen.
"Kalau saya kaya macam si pembeli tudung ini, saya fikir 2 3 kali nak beli. Bagus kita sedekahkan duit kepada fakir miskin. Dapat juga untuk tabung akhirat. Tapi saya tak kaya macam dia," antara komen netizen.
Tudung bawal hitam keluaran jenama Bawal Exclusive itu bertatahkan kristal mewah Swarovski dihasilkan sepenuhnya di Austria dan mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan.
"Harga RM50,000 itu adalah termasuk dengan kos pereka profesional, kos di Austria lengkap semuanya.
"Ilham fantasi wujudnya kuntuman bunga mekar di padang pasir Sahara, menterjemahkan kegigihan pemiliknya yang berusia 35 tahun. Pemiliknya seorang ahli perniagaan perusahaan berasaskan minyak dan gas.
"Tempahan hanya dilihatnya selepas siap dan diterbangkan ke negara ini," katanya.
Bawal Exclusive menjangkakan tudung seterusnya yang ditempah dari Lahad Datu, Sabah, dianggarkan bernilai RM65,000. Namun tempahan itu masih dalam perbincangan mengenai perincian dan corak rekaan.
Sumber: Berita Harian, Bawal Exclusive