Ketika hayatnya, dia menguruskan segala-gala perbelanjaan keluarga. Dia adalah ibu dan ayah kepada anak-anaknya setelah suaminya dipenjarakan. Arwah dikatakan tidak pernah berehat, masa yang ada diisi untuk menambah pendapatan. Tetapi kini, dia telah direhatkan buat selama-lamanya. Apa yang menyedihkan, nasib anak-anaknya yang tiada tempat bergantung, hanya mampu meraih simpati saudara mara.
Kisah ini dikongsikan kembali agar nasib anak-anak kecil ini terbela dan juga memberikan pengajaran kepada kita yang masih bernafas. Dan sebagai ketua keluarga, seharusnya memikirkan kesan perbuatan baik buruk yang dilakukan kepada isteri dan anak-anak.
SAYA bukan penulis sebenar, saya sekadar memanjangkan kisah anak-anak syurga ini agar dapat bantuan sewajarnya.
Ini kisah anak-anak arwah staff saya yang meninggal dunia semalam. Mereka enam beradik. Sulung darjah enam, yang bongsu satu tahun setengah. Hari ini mereka kehilangan mama tersayang. Kematian yang amat menginsafkan. Ini kisah mereka sekeluarga.
Saya dan suami sampai ke rumah abang ipar arwah selepas solat Jumaat tadi. Jenazah belum sampai. Masih di hospital.
Suaminya di dalam penjara. Sebelum ini telah beberapa kali ditahan dan arwah yang membayar wang denda sehinggalah yang kali terakhir ini arwah sudah tidak sanggup dan tidak mempunyai wang untuk membayar denda.
Arwah, mama hebat. Siapa sangka seawal jam 10 malam sudah mula membuat persiapan menyiapkan nasi lemak. Arwah menghantar nasi lemak setiap pagi ke Stesen Petronas. Pulang semula ke rumah menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah. Bayangkan bagaimana kalutnya setiap pagi.
Selesai menghantar anak ke sekolah, beliau terus ke tempat kerja. Bekerja sebagai cleaner di sebuah bank. Jarak perjalanan ke tempat kerja antara 30-45minit. Setiap Sabtu dan Ahad arwah akan part time pula di Sultan Salai. Juga jarak perjalanan antara 30-45 minit. Baru saya tahu. Tiada sehari pun hari rehat buat beliau. Arwah bekerja siang dan malam untuk menampung hidup beliau tujuh beranak.
Sedihnya Ya Allah bila tahu anak sulung baru berusia 12 tahun perlu menjaga sendiri adik-adik bila pulang dari sekolah. Tiada mak yang menghidangkan makan dan minum apabila balik dari sekolah. Semuanya telah disediakan mamanya dari awal pagi.
Hari ini, rezeki Allah beri pada kami. Dapat menunggu jenazah sampai ke masjid. Sepanjang menunggu saya mendengar cerita-cerita baik tentang arwah.
Sehinggalah selesai solat jenazah, apabila imam berkata bagaimana keadaan jenazah? Jemaah menjawab 'baik'. Imam bertanya lagi. Bagaimana keadaan jenazah? Jemaah menjawab baik. Kata Imam, ini adalah pengajaran untuk kita yang masih hidup. Sementara kita menunggu suami arwah tiba, bolehlah melihat dan mencium arwah buat kali terakhir. Hiba.
Anak-anak arwah dipimpin oleh saudara mara ke hadapan. Mereka, usianya tidak lebih 12 tahun apatah lagi si bongsu masih menyusu badan. Hampir pasti tidak faham langsung apa yang berlaku. Ajaibnya apabila melihat wajah mama mereka terkujur kaku dan tersenyum anak-anak ini menangis semahunya.
Selesai saudara mara dan sahabat melihat wajah untuk kali terakhir, kami semua diminta duduk. Menunggu sahaja ketibaan suami arwah. Sebak.
Tiba-tiba terdengar esakan dan jeritan anak arwah. Mereka meluru dan memeluk susuk tubuh seorang lelaki yang sedang berjalan masuk dari pintu masjid. Tanggannya bergari sebelah. Ditemani dua orang pegawai penjara.
Allah.. air mata ini tidak dapat aku tahan. Sungguh, cerita seperti ini hanya dalam drama. Tetapi ini benar-benar terjadi kepada orang yang aku kenali.
Suaminya terus dibawa ke hadapan jenazah. Menangis semahunya menatap wajah isteri, kemudian dibawa ke tepi dinding. Masa ini semua anak arwah memeluk ayah mereka. Barangkali rindu teramat kepada lelaki bergelar ayah ini. Si kecil juga sempat didukung ayahnya. Suasana di dalam masjid bertukar sangat hiba. Hampir semua yang ada sebak dan menangis menyaksikan moment ini.
Tidak sampai 10 minit, lelaki ini terpaksa pergi. Dia terpaksa pulang ke tempat sementaranya, penjara! Tidak dapat menghantar arwah isteri ke tempat rehatnya yang abadi.
Wahai pekerjaku yang baik budi dan berdedikasi, engkau meninggalkan senyuman di wajahmu. Sudah kerap kali kau mengadu penat pada kawanmu sekalipun tidak pernah engkau ceritakan masalah ini kepada majikanmu.
Semalam, Allah SWT merehatkanmu. Habis sudah penatmu di dunia ini bekerja siang malam, menguruskan anak-anak dan menjaga maruah suamimu sehinggakan aku majikanmu tidak tahu langsung kamu bekerja seorang diri menyara keluarga.
Wanita hebat, semoga Allah SWT lapangkan kuburmu menempatkan rohmu bersama orang-orang soleh.
Kuatkanlah hati anak-anak ini. Masih terngiang perbualan terakhir saya bersama arwah minggu lepas di Sultan Salai,
“Akak hantar semua anak-anak akak masuk sekolah cina. Sebab akak nak anak-anak akak pandai berdikari.”
Sehingga cacatan ini ditulis, sebak masih ada. Siapalah yang akan menjaga enam orang anak arwah sementara ayah mereka di dalam penjara. Arwah sudah tidak mempunyai bapa, ibu mertua dan ayah mertua.
Catatan saya ini bukan bertujuan mengaibkan sesiapa, ambillah pengajaran daripada kisah benar ini. Sebelum melakukan apa-apa yang boleh merosakkan diri sendiri, ingat juga kesan yang akan terjadi kepada anak-anak dan isteri akibat perbuatan diri sendiri.
Allah SWT susun jalan cerita seperti ini untuk memberikan pengajaran kepada kita semua yang masih bernyawa.
SUMBANGAN DAN BANTUAN IKHLAS
Terima kasih pada yang cakna dan alert tentang enam beradik kehilangan ibu dalam kemalangan motor pada 25 April 2019(Khamis) ketika baru pulang dari tempat kerja sebagai cleaner di sebuah bank di Rembau. Anak yang sulung berumur 12 tahun (darjah enam) dan yang bongsu berumur (setahun). Buat sementara waktu mereka kini tinggal bersama pakcik saudara di Kampung Legong Ulu, Kota, Negeri Sembilan.
Sebarang pertanyaan lanjut atau mahu membuat sumbangan ikhlas pada anak-anak tersebut boleh berhubung dengan penjaga waris :
NORAZILA BT SAHRAN
(IBU SAUDARA)
No Tel: 0167534022
SAJIRIN BIN KASSIM
(DATUK SAUDARA)
No Tel: 0193508629
Akaun : CIMB
( 0504 000 5041205 )
Sebarang maklumat selain dari di atas adalah tidak benar sama sekali. Wallahualam. Sekiranya tidak mampu bantu, bantulah share, semoga ada insan-insan yang dapat membantu anak-anak kecil ini dan keluarga terdekat. Allah kira semua itu walaupun kita hanya sekadar share.
Semoga semua urusan enam beradik ni dipermudahkan oleh Allah.. Aamiin. Saya bukan penulis sebenar dan bukan majikan Arwah. Saya hanya memanjangkan nukilan ini. Al fatihah untuk arwah ibunya.
Sumber: Hamidah Sulaiman