Pemandu teksi tetak pekerja stesen minyak, rempuh penunggang motosikal


Seorang pemandu teksi ditahan polis kerana menetak tangan pekerja stesen minyak di Desa Tun Razak, Kuala Lumpur semalam. 

Dalam kejadian yang berlaku di Stesen Petronas itu, suspek terdahulu bertengkar mulut dengan pekerja warga Bangladesh itu akibat perselisihan faham.

Suspek kemudian beredar dari lokasi itu dan kembali semula dengan membawa parang lalu menetak tangan mangsa serta terus melarikan diri dengan teksinya. 

Namun suspek dikejar oleh penyelia stesen tersebut yang berjaya masuk ke dalam teksi itu dan berlaku pergelutan di antara mereka sehingga menyebabkan teksi itu terbabas lalu merempuh penunggang motosikal. 

Kejadian itu menyebabkan penunggang motosikal berusia 17 tahun itu cedera dan motosikalnya hancur teruk. 

Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan orang awam.








Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Annas Sulaiman mengesahkan suspek berusia 35 tahun itu ditahan dan senjata yang digunakan suspek turut dirampas. 

Difahamkan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk mendapatkan rawatan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.