'Tunggu abang...' - kata-kata terakhir anggota polis buat isterinya sebelum maut dalam kemalangan


Seorang anggota polis maut, manakala rakan setugasnya parah akibat dirempuh motisikal ketika melakukan pemeriksaan terhadap van di bahu jalan.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 6.40 pagi di Jalan Persisiran Perling arah Iskandar Puteri, Johor Bahru, Lans Koperal Mohd Ishraf Ismail, 27, maut di tempat kejadian, manakala Muhammad Syakir Safwam Khairudin, 29, parah. 

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, kemalangan itu membabitkan Kereta Peronda Polis (MPV) dan motosikal jenis Yamaha 135LC. 

"Pemandu MPV disahkan meninggal dunia, manakala kru serta penunggang motosikal parah. 


"Siasatan awal dijalankan di tempat kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika dua anggota Peronda Polis sedang melakukan peeriksaan pada sebuah van di bahu jalan sebelah kiri. 

"Secara tiba-tiba, motosikal yang datang dari arah Perling menuju ke Plaza Tol Perling terlanggar kedua-dua anggota terbabit. 

"Akibat dari perlanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua yang parah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk mendapatkan rawatan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. 

Sementara itu, isteri mangsa, Nor Adeela Mad Hashim, 26 berkata, suaminya sempat berkata, "Tunggu abang" sebelum nahas kemalangan itu. 



Nor Adeela berkata, dia dan suaminya sepatutnya pulang berhari raya di Alor Setar, Kedah hari ini, dan segala perancangan dan persiapan dua anak mereka, Muhammad Adam Iskandar, 7, dan Muhammad Ishabil, 3, telahpun dibuat. 

"Dia sangat bersungguh-sungguh untuk beraya di kampung tahun ini, apatah lagi sudah lima tahun kami tidak pulang beraya. 

"Arwah suami juga sudah siap membeli kelengkapan kami sekeluarga ketika memperoleh gaji pada 23 Mei lalu dan membeli barangan itu di sekitar bandar ini," katanya. 

Namun dia tidak menyangka yang dijanjikan itu membawa jasad suaminya bersama selepas terbabit dalam kemalangan ketika menjalankan tugas. 


Kali terakhir Nor Adeela bertemu dengan arwah pada jam 3 pagi selepas menghantar dua bungkus nasi lemak untuk bersahur. 

"Kebetulan saya teringin makan nasi lemak dan dia balik belikan saya nasi lemak itu untuk bersahur. 

"Saya dapat tahu kemalangan itu dari rakan setugas dan tidak tahu apa yang berlaku terhadapnya lagi. Sebaik mengetahui kejadian itu, anak sulung hanya dimaklumkan bahawa ayahnya sedang sakit, selain tidak mengetahui perkara sebenar," katanya. 

Jenazah mangsa akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Paya Tok Teh, Malau Jitra, Kedah. 

Suasana di ruang menunggu bilik mayat Hospital Sultanah Aminah menjadi penuh emosi apabila anak sulung arwah enggan melihat jenazah arwah bapanya, namun dipujuk oleh rakan-rakan ayahnya untuk melihatnya buat kali terakhir. 

Sumber: Harian Metro