(Video) Lelaki dipenjara seminggu kerana tendang perut budak autism


Seorang lelaki warga Singapura yang menendang dan memukul kanak-kanak autism berusia lima tahun pada tahun lalu di sebuah pusat permainan kanak-kanak di Yishun telah dijatuhkan hukuman penjara selama seminggu.

Channel News Asia melaporkan, lelaki berusia 28 tahun itu, Soo Wen Jie, dijatuhkan hukuman tersebut pada Selasa lalu. 

Dalam kejadian 9 April 2018, Soo berada di pusat permainan itu bersama dengan isteri dan dua orang anaknya berusia 10 bulan dan 20 bulan mendakwa mangsa berkelakuan agresif. 

Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Soo berang apabila kanak-kanak itu mahu mengambil penyedok biru dari tangannya. 

Apabila Soo enggan memberi, kanak-kanak itu memukulnya membuatkan Soo berang lalu menendang perutnya. 

Soo sekali lagi bertindak kasar apabila kanak-kanak itu memeluk Soo sebagai tanda meminta maaf. 


Di mahkamah, Soo cuba menjelaskan bahawa dia bertindak demikian kerana mahu mempertahankan diri. 

Peguamnya merayu agar mahkamah mengenakan hukuman ringan sama ada penjara sehari atau denda kerana tiada kecederaan yang berlaku dalam kejadian itu. 

Namun pendakwaraya tidak bersetuju kerana Soo boleh meminta bantuan pihak pengurusan atau mencari ibu bapa kepada kanak-kanak berkenaan.