Sepasang suami isteri memfailkan saman terhadap seekor ayam jantan kerana rimas dengan bunyi kokokan haiwan itu setiap pagi.
Difahamkan, Jean-Louis Biron dan Joella Andrieux, membina sebuah pusat hiburan di Saint-Pierre-d'Oleron, Paris. Setelah 15 tahun kemudian, mereka menutup perniagaan itu dan menjadikannya sebagai rumah persendirian.
Salah satu alasan pasangan itu memilih Saint-Pierre adalah kerana ketenangannya. Tetapi pada tahun 2017, bermulanya 'perang' di antara mereka dengan pemilik ayam itu, Corrine Fesseau yang sudah menetap di kampung itu sejak 35 tahun lalu.
Ayam jantan bernama Maurice itu sememangnya dikenali di perkampungan itu, malah kokokannya pada setiap pagi tidak ubah seperti jam loceng untuk mengejutkan penduduk di sekitar.
Tetapi bagi pasangan itu, kokokan Maurice merimaskan mereka yang membawa kepada punca pertengkaran dua pihak terbabit sehingga melibatkan perundangan.
Fesseau menegaskan, Maurice hanya menjalankan tugasnya setiap hari.
"Ini amat tidak masuk akal jika mereka meminta agar ayam jantan di kampung ini tidak berkokok pada waktu pagi," katanya.
Tindakan pasangan itu menimbulkan kemarahan pemilik haiwan yang lain di kampung itu lalu nekad berkumpul di luar mahkamah untuk memberi sokongan kepada Fesseau dan Maurice.
Bagaimanapun, pasangan itu serta Maurice dilaporkan tidak hadir ke mahkamah pada hari berkenaan.
Kes masih berlangsung dan keputusan akhir kes akan dibuat pada September depan.
Sumber: Astro Awani