(Video) 'Sedih bila ayah dia minta aku sedarkan anak dia' - Bayi berusia 5 hari maut angkara pemandu Saga buat pusingan U secara tiba-tiba


Seorang bayi berusia lima hari dilaporkan maut selepas kereta yang dinaiki bersama ibu bapanya terlibat dalam kemalangan dengan dua buah kenderaan lain. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 9.40 pagi Jumaat di Kilometer 49 Jalan Kuala Lumpur - Ipoh berhampiran Jabatan Pertanian Batang Kali, Hulu Selangor, Perodua Bezza yang dinaiki tiga beranak itu dari arah Batang Kala menghala ke Klinik Ibu dan Anak, Rasa merempuh bahagian hadapan Proton Saga. 

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, siasatan mendapati kemalangan itu berlaku disebabkan pemandu Proton Saga terbabit dari arah bertentangan secara tiba-tiba membuat pusingan U di lokasi. 

Akibatnya, Perodua Bezza itu terbabas lalu melanggar penghadang besi jalan di sebelah kiri jalan. 

Perodua Myvi dari arah belakang Perodua Bezza tidak sempat mengelak lalu melanggar Proton Saga. 


Akibatnya, pemandu dan penumpang Perodua Bezza itu cedera manakala bayi mereka disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Kubu Bharu. 

Pemandu Proton Saga dan Perodua Myvi tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sementara itu, Amirul Azuan yang kebetulan melalui jalan itu turut menceritakan situasi yang berlaku di lokasi kejadian. 


Mengalir air mata dari lokasi sampai ke Ipoh. Time aku lalu, baru jadi dalam lima minit. Jarang aku nak berhenti kalau ada kemalangan ini. Tapi disebabkan ternampak ada baby di bahagian penumpang Bezza biru itu, aku berhenti juga. 

Bila sampai, aku tanya ayah baby itu, "Baby okey tak?" Dia cakap baby tak sedar. Aku minta izin nak check baby itu. Bibirnya dah biru. Terus buka helmet minta izin nak CPR.

First two minutes, muka baby itu dah start merah. Tapi no sign of life. Aku terus CPR lagi, then baby itu muntah. Masih sama juga, tidak bernafas. Dah clear airways pun sama. Then aku teruskan lagi lebih dari 10 minit. Baby dah start biru balik. 

Allahu, lagi sedih bila ayah dia minta aku sedarkan anak dia. Aku tak kuat nak hadap. Aku boleh belakang, ada seorang lelaki itu minta nak sambung CPR. Aku terduduk dekat tepi divider itu. 



Ayah dia tak cedera pun, mak dia pecah mulut disebabkan airbag. Baby itu baru berumur lima hari. Dah nak sampai rumah nenek dia pun. Tapi ajal dia sampai dulu. 

Siapa yang ada baby itu tolonglah letak dalam car seat. Kalau tak mampu, jangan duduk depan. Duduk belakang pakai seatbelt. Yes, airbag itu selamatkan nyawa mak dia tetapi bukan nyawa baby itu. 

Tenanglah baby Inara di syurga. Uncle minta maaf, uncle dah cuba semampu yang boleh. Tapi Allah lebih sayangkan Inara.