Anjing mati dipanah


Seekor anjing ditemui mati di depan sebuah kedai akibat dipanah di bahagian kiri badannya dalam kejadian yang berlaku di Pekan Kuah, Pulau Langkawi, Kedah, hari ini. 

Sehingga kini, masih belum ada mana-mana individu yang tampil melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa dan Persatuan Haiwan Malaysia (PHM) meminta mana-mana saksi tampil menyalurkan maklumat berhubung kejadian itu kepada polis atau Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia. 

Selain itu, PHM turut menawarkan wang ganjaran RM1,000 kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lengkap sehingga pelaku didakwa di mahkamah dan segala maklumat akan dirahsiakan. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi PHM di talian 011-20901097 (WhatsApp). 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan dari seorang penduduk pada jam 4.54 petang berhubung kejadian itu. 

Siasatan di tempat kejadian mendapati bangkai anjing itu ditemui mati akibat tertusuk dua anak panah. 

Tiada kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan kawasan kejadian yang boleh digunakan untuk membantu siasatan. 

Bangkai anjing itu dibawa ke Klinik Haiwan Chenang untuk dibedah siasat dan polis masih belum dapat memastikan sama ada anjing itu adalah anjing peliharaan ataupun anjing liar kerana tiada pihak yang membuat laporan mengenai kehilangan haiwan peliharaan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1)(d) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Sumber: Harian Metro