'Diheret masuk dalam kereta, dirogol bergilir-gilir dalam kebun pisang' - Peguam kongsi kes paling emosi dikendalikannya


Kes rogol semakin berleluasa tanpa meninggalkan belas ihsan kepada mangsa. Kerana nafsu, wang, dendam atau sebagainya si pelaku sanggup melakukan apa sahaja walaupun mangsa seorang yang lemah. 

Seorang peguam wanita menarik perhatian netizen apabila kisahnya yang mengendalikan kes rogol meruntun hati netizen. Seorang remaja perempuan dirogol beramai-ramai sewaktu pulang dari kerja. Apa yang menyentuh hati, tunang mangsa sentiasa ada semasa proses perbicaraan di mahkamah dan dikhabarkan kini mereka telah berkahwin.


KES rogol beramai-ramai antara kes yang paling emosi pernah saya kendalikan. Seorang remaja dirogol empat orang lelaki. Bayangkan, baru balik kerja dengan motosikal, dilanggar dari belakang, diheret masuk dalam kereta dan kemudiannya di bawa ke satu kawasan kebun pisang. 

Mangsa masih sangat muda, dibogelkan dan dirogol bergilir-gilir sebelum dia disamun pula segala duit dan sebentuk cincin di tangannya. Ditumbuk di perut, diliwat dan paling melukakan adalah ditinggalkan dalam keadaan tiada seurat benang pun di kebun tersebut.

Mangsa terpaksa menapak ke balai polis tanpa seurat benang dan syukur 4 orang lelaki tersebut kesemuanya didakwa dan disabitkan. Mangsa mendapat banyak kecederaan termasuklah kecederaan di rahim beliau.

Mangsa mengambil masa empat hari untuk beri keterangan penuh tentang kejadian. Ketika satu demi satu cerita beliau direkodkan oleh mahkamah, banyak kali perbicaraan terpaksa di hentikan. Mangsa akan meminta masa bertenang namun tidak sekalipun mangsa menitiskan air mata di mahkamah.

Mangsa begitu tegas dan dapat mengingat setiap perincian kejadian sehinggakan pihak peguam tertuduh tidak mampu mencari lubang soalan yang mampu mematahkan kekuatan cerita mangsa.

Semasa proses pengecaman empat lelaki tadi dibuat, mangsa memandang satu demi satu wajah lelaki lelaki tersebut dan camkan mereka bersekali dengan apa yang setiap mereka lakukan pada mangsa. 

The most amazing part is, tunang mangsa setiap masa dan ketika ada bersama mangsa di mahkamah dan kali terakhir saya dihubungi empat tahun lepas, saya dimaklumkan dia telah menikah dengan tunangnya. What a great guy he is! Pesanan saya, wanita tak kira di mana-mana kena selalu berhati-hati.