Remaja hamil 5 bulan cedera dibelasah teman lelaki & 2 rakannya kerana geram mangsa kerap meminta dia bertanggungjawab


Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun yang hamil lima bulan dibelasah tiga lelaki termasuk teman lelakinya dan ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan berlumuran darah. 

Mangsa ditinggalkan di tepi jalan di belakang Kolej Vokasional Setapak, Kuala Lumpur, Isnin lalu. Dalam keadaan tidak bermaya dan berdarah di bahagian muka, mangsa berjalan ke kedai berhampiran PPR Wangsa Sari untuk meminta bantuan pada jam 2.30 pagi. 

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, takut melihat keadaan mangsa, pekerja kedai tidak berani membantunya. 

Orang awam kemudian membantu menghubungi keluarga mangsa sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan. 

Siasatan polis mendapati, mangsa pada awalnya keluar bersama teman lelaki pada jam 9.30 malam dengan motosikal ke Uptown Danau Kota. 

"Kebiasaannya mereka melalui jalan lain, namun suspek memberi alasan laluan itu ada sekatan polis sebelum dia melalui lorong di belakang Kolej Vokasional Setapak. 

"Namun tiba-tiba mereka ditahan lelaki yang mengarahkan enjin motosikal dimatikan sebelum mangsa ditarik seornag lagi lelaki dan terus dipukul pada muka sehingga tidak bermaya," katanya. 

Mangsa mengalami bengkak di bahagian muka dan luka di atas kepala. Bapa mangsa tampil membuat laporan polis kelmarin. 

Bertindak di atas laporan itu, polis menahan tiga suspek untuk membantu siasatan dan mereka mengaku terbabit dalam kejadian itu dengan alasan mangsa selalu memberi tekanan terhadap suspek untuk bertanggungjawab di atas kandungannya yang berusia lima bulan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. 

Sumber: Harian Metro