Seorang ibu secara tidak sengaja terbunuh anak perempuannya berusia lapan tahun hanya kerana mangsa melakukan kesilapan ketika membuat kerja sekolah.
Lapor Oriental Daily, kejadian itu berlaku di China di mana mangsa pada ketika itu sedang membuat kerja sekolahnya sambil menonton kartun di waktu tengah hari. Oleh kerana dia tidak begitu memberi perhatian, mangsa melakukan banyak kesilapan.
Apabila si ibu memeriksa kerja sekolah mangsa, dia mendapati ada banyak kesalahan membuatkan dia berang lalu memukul mangsa di bahagian belakang kepala menyebabkan mangsa menangis kesakitan.
Melihat anaknya menangis, si ibu mula rasa bersalah lalu mengambil sepakat kaki ayam diberikan kepada mangsa sebagai usaha untuk memujuknya. Mangsa berhenti menangis dan makan kaki ayam tersebut.
Tidak beberapa lama selepas itu, mangsa mula berasa pening kepala dan muntah-muntah. Si ibu bergegas membawa anaknya ke hospital. Malangnya tiada apa yang dapat dilakukan kerana mangsa disahkan meninggal dunia pada malam hari kejadian.
Ibu mangsa berasa sedih dengan apa yang berlaku dan tertanya-tanya apakah kaki ayam yang diberinya itu beracun. Dia bimbang makanan itu yang telah meragut nyawa anaknya.
Hasil post mortem mendapati, mangsa meninggal dunia disebabkan penguncupan serebrum iaitu otak mangsa mengalami trauma akibat kecederaan pada tisu otak yang lebam, yang disebabkan oleh tindakan si ibu yang memukul kepala anaknya.
Wanita itu mengaku memukul kepala anaknya sebagai hukuman dan dia menyesal dengan tindakannya itu.
Doktor menasihatkan golongan ibu bapa tidak menggunakan kekerasan seperti memukul atau merotan anak sebagai hukuman kerana ia boleh menyebabkan kecederaan fizikal dan mental.
Sumber: Oriental Daily, World of Buzz