'Kenapa kau mati je eksiden hari tu? Hidup pun menyusahkan aku!!' - Isteri berubah 360' selepas suami disahkan lumpuh akibat kemalangan sehinggalah..


SALAM admin, mohon hide profile saya. Saya memerlukan bantuan dan pandangan warga KRT. Maaf jika coretan saya agak panjang. 

Saya dah berkahwin dengan isteri saya dan dikurniakan seorang anak lelaki. Awal perkahwinan kami, semuanya baik. Saya bekerja swasta dengan gaji yang cukup menampung keluarga. Isteri saya juga bekerja. Dia isteri yang baik, menghormati saya dan melayan saya sebagai suami selayaknya. 

Namun segalanya berubah setelah saya terlibat dalam kemalangan motosikal pada awla tahun lepas sewaktu balik dari kerja. Doktor mengesahkan saya lumpuh kekal separuh badan dari bahagian pinggang ke bawah kerana saraf tunjang saya rosak teruk, selain daripada beberapa tulang saya patah. Allah saja yang tahu betapa celarunya fikiran saya pada waktu itu. 

ISTERI MULA BERUBAH, DARI PENYAYANG MENJADI BARAN

Bermula pada saat itu, isterilah yang menjadi tempat bergantung. Dengan bayaran bulanan rumah, kereta, bil-bil utiliti dan kelengkapan dapur. Isteri yang mulanya lemah lembut, penyayang berubah 360'. Maki hamun sudah menjadi kebiasaan baginya setiap hari. 

Saya ada juga usaha untuk membantu dia dengan melibatkan diri dalam bisnes online. Tapi apalah daya yang saya ada dengan keadaan lumpuh pada masa itu. Akhirnya, saya semakin tidak dipedulikan dan yang paling saya terkilan, hampir setiap hari isteri cakap,

"Kenapalah kau tak mamp#s je accident hari tu, hidup pun menyusahkan aku!!!" 

Allahu, Dia sahaja yang tahu perasaan saya pada waktu itu. Saya faham isteri sangat tertekan dan saya cuba bersabar. Dengan duit yang tidak mencukupi, dulu serba lengkap kini serba tak kena. Saya pula cacat (pemegang kad OKU).

KAKI DISEPAK, TERAJANG TANPA BELAS KASIHAN

Keadaan bertambah teruk apabila isteri mula menyepak terajang saya. Banyak kali kaki saya dipijak dan disepaknya. Walaupun saya tak rasa sakit (kesan lumpuh, anggota badan tak rasa bila ada sentuhan) tetapi hati saya sangat terluka diperlakukan sebegitu oleh orang yang kita sayang. Saya juga diarahkan tidur di bawah beralaskan tilam bujang.

Cuma saya bersyukur, dalam derita Allah hadirkan seorang sahabat yang sangat baik untuk saya. Setiap hari sahabat akan melawat dan menemani saya, mandikan saya dan menyediakan makanan untuk saya. Setiap hari dia jaga saya. Allah, Allah. Hanya Yang Rahman sahaja yang mampu membalas jasa kau sahabat. 

Dia tahu derita saya walaupun saya tak pernah cerita layanan isteri pada saya semenjak lumpuh. Tanpa pengetahuan isteri, saya minta sahabat saya uruskan claim insurans dan Socso (kemalangan dalam ketika bertugas). Dialah yang membantu saya turun naik ke pejabat insurans, uruskan pula claim Socso semasa isteri saya keluar bekerja. 

NAK BERI KEJUTAN PADA ISTERI TETAPI...

Setiap malam saya qiamullail. Setiap malam pukul 3-4 pagi, saya akan bangun bertaubat kepada Allah, mengadu nasib kepada Maha Pencipta. Setiap malam selmaa berbulan-bulan saya menangis di depan Allah. Saya meratap nasib saya, menangis akui betapa kerdilnya saya di depan Yang Maha Kaya. Saya bertaubat sungguh-sungguh, mungkin saya lalai dan leka dengan kemewahan yang Dia beri selama ini sehinggakan Dia murka dan menarik nikmat saya sekelip mata. 

Satu malam itu saya terlewat bangun untuk qiamullail, dalam pukul 5 pagi. Tak seperti kebiasaan pada pukul 3 pagi. Saya bangun tergesa-gesa terus ke bilik air. Sampai di pintu dapur, baru saya tersedar yang saya ke bilik air tanpa kerusi roda. Allah, Allah, menangis saya. Terus saya sujud syukur di pintu dapur itu. Saya menangis lama sujud syukur kepada Allah. Sangat lama.

Dia Maha Kuasa, mampu pulihkan saya walaupun doktor dan pakar perubatan sendiri mengesahkan keadaan saya akan lumpuh seumur hidup. Hati saya meronta nak naik ke bilik atas, nak kejutkan anak isteri, nak beritahu bahawa saya sudah boleh berjalan semula, yang saya dah tak cacat lagi. Tetapi sebahagian hati saya menghalang min. Jadi, saya ambil peluang nak beri kejutan kepada isteri bila pagi nanti. 

Pagi itu saya bersiap kemas-kemas dan berpura-pura duduk di atas kerusi roda sambil buat sibuk menyidai baju di luar. Masa isteri saya nak keluar, nak pergi ke tempat kerja, saya terjatuhkan tudung kesayangannya sebab ampaian itu agak tinggi dengan keadaan saya yang berkerusi roda pada waktu itu. Habis dia mengamuk sakan memaki hamun saya seperti tiada hari esok untuk dimaki. 

Ditolaknya kerusi roda saya sampai jatuh tersungkur di lantai. Kebetulan sahabat baik saya baru sampai depan rumah berlari mendapatkan saya dan itu adalah pertama kali dia melihat sendiri sikap sebenar isteri saya yang tidak pernah saya ceritakan kepada dia. Dia terkejut, sampai dia bangun nak menampar isteri saya tetapi sempat saya halang dan sedarkan dia bahawa yang hendak ditampar itu adalah isteri saya. 

Isteri saya bertambah marah lalu masuk ke dalam. Dia campak semua kain baju saya keluar. Dia menjerit-jerit menghalau saya keluar dari rumah saya sendiri. Dia maki hamun saya di depan sahabat, depan-depan jiran yang sama terkejut mendengar kebisingan di pagi hari itu. Menangis saya. Itu saja yang mampu saya buat. Hanya kerana tudung.  

ISTERI TERGAMAM

Sahabat saya cuba untuk papah saya ke kerusi roda semula, tetapi saya halang. Saya bangun sendiri, kutip satu persatu pakaian saya dalam keadaan terhincut-hincut. Saya nampak reaksi terkejut sahabat dan isteri yang melihat saya mampu berjalan sendiri. Saya bungkus pakaian saya dalam kain pelikat lalu pergi ke kereta sahabat. Sahabat saya hanya ikut tanpa kata apa-apa. 

Saya hanya mampu ucapkan kepada isteri,

"Halalkan makan minum abang sepanjang abang tak sihat. Abang maafkan awak dunia akhirat. Abang redha, abang ampunkan awak," tersedu-sedu saya menangis. 

Ketika di dalam kereta, saya terus mencari kerja di Facebook yang ada menyediakan tempat tinggal, yang bersesuaian dengan keadaan fizikal saya yang masih tak mampu bekerja kuat dan berdiri lama. Yang mana sahabat saya dalam Facebook dan group mencari kerja Facebook pasti tahu siapa saya. 

Sahabat saya marah betul pada saya ketika itu sebab menyembunyikan masalah itu daripada pengetahuannya. Dia ajak saya menumpang di rumah dia tetapi bagi saya cukuplah saya sudah menyusahkan dia selama ini. Saya minta dia untuk tinggalkan saya di masjid, sebab di sana ada rakan jemaah yang saya kenal dan pernah sama-sama mengikut mereka tabligh. 

Marah sahabat saya sebab saya berkeras juga nak ke sana. Maafkan aku sahabat, cukup banyak dah aku susahkan kau. Tiba masa aku mencari kedamaian di jalan Allah. Mak saya dan keluarga masih ada, cuma saya tidak mahu menyusahkan mereka. Lagipun, saya tidak mampu nak memberitahu hal ini kepada mak saya kerana bimbang dia marah, kecewa dan demi menjaga aib isteri saya sendiri. 

ALLAH PULANGKAN 1,000 LAIN KENIKMATAN

Sampai di masjid, saya terus mencari Ustaz Adi (bukan nama sebenar) yang mesra dipanggil sebagai 'abang', seorang muallaf Myanmar yang berstatus PR di Malaysia, ketua jemaah di sana. Dia peluk saya dan menangis bersama-sama walaupun dia belum tahu masalah saya. Dia macam rasa hati saya waktu itu. Allahu. 

Di sana, dia yang menjaga saya, membantu saya untuk mandu dan solat walaupun saya sudah boleh melakukan semua itu sendiri. Risau katanya. Moga Allah balas jasamu bang, dunia akhirat. 

Saya dapat beberapa panggilan untuk bekerja dalam Facebook dan akhirnya saya memilih saya kerja yang sangat sesuai dengan kudrat saya dan setimpal dengan kelayakan saya. Alhamdulillah. Tetapi beliau tidak membenarkan saya memberitahu sesiapa, takut riak katanya. 

Tahu apa yang saya rasa pada waktu itu? Allah ambil nikmat saya hanya satu tetapi dia pulangkan 1,000 lain kenikmatan yang tak tercapai dek akal saya. Allahuakbar. 

Saya mula bekerja dengan beliau dan diberikan tempat tinggal yang sangat selesa. Saya diajak tinggal di rumahnya. Setiap hari dia sama membantu saya, segala kelengkapan mandi, selimut dia belikan untuk saya. 

"Hari ini hari kau, hari abang tak tahu bila dan macam mana."

Ayat itu yang dia selalu ulang sampai ke hari ini. Insya Allah, selagi khidmat saya diperlukan untuk bekerja dengannya, selagi itu saya akan terus bekerja bersungguh-sungguh untuk membantu dia menaikkan syarikatnya. Doakan kami. 

Setelah beberapa bulan bekerja dengan majikan baru, pihak insurans memaklumkan claim saya telah diluluskan dan meminta saya datang ke pejabat. Allahu, saya menerima pampasan ratusan ribu ringgit termasuk claim Socso. Allah, Allah, syukur sangat. Saya tak tahu nilai apa saya ini di sisi Allah sehingga Allah berikan nikmat sebegini banyak kepada saya. 

Sahabat-sahabat yang baik, majikan yang mulia, staff pejabat yang rajin menolong saya, kini duit pula yang Allah bagi. Apakah Allah ingin menguji saya sekali lagi? Hanya Dia yang Maha Mengetahui. 

SIANG MALAM ISTERI CALL, MINTA KEMBALI KE PANGKUAN 

Sejak dari hari itu, isteri saya tak putus-putus menghubungi saya siang malam. Dia kata dia sudah menyesal melayani saya dengan buruk. Dia mahu saya pulang semula ke sisinya, malah dia kata anak rindukan saya. Walhal sebelum ini, anak nak dekat dengan saya pun dia tak izinkan. Takut berjangkit cacat nanti, katanya. Baru sekarang nak ingatkan saya soal anak? Teruji iman saya dengan kemarahan. Tetapi saya pendamkan dalam hati. Saya tahu Allah menguji saya. 

Saya juga memasukkan sejumlah wang claim itu ke akaun isteri sebagai nafkah dia dan anak. Dia masih isteri saya, wajib saya sediakan nafkah untuk dia. Saya tahu itu. Begitu juga anak, dia tetap anak saya. Cuma perlukah saya kembali ke pangkuan isteri? Saya sangat buntu, bantulah saya semua warga KRT.