'MCA bukan rasis macam parti lain, tak pernah persenda Melayu, Islam & institusi diraja' - Wee Ka Siong


Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong malam tadi menegaskan partinya tidak pernah mempersendakan Melayu, Islam dan institusi raja negara ini. 

Beliau berkata, MCA berbeza dengan parti lain dan mendakwa parti itu pernah meminta agar orang Melayu mengenakan Melayu yang lain, ketika berucap di pentas di PRK Tanjung Piai, baru-baru ini. 

"Dalam sejarah, MCA tidak pernah mempersendakan orang Melayu, agama Islam dan juga institusi raja di negara ini. Tak macam parti di sana yang pernah minta Melayu screw Melayu," katanya di hadapan hadirian kira-kira 2,000 orang.

Meskipun mempunyai kelainan berbanding parti lain, namun katanya MCA dianggap mewakili masyarakat Cina.

Ka Siong juga menjelaskan, bukan semua orang Cina bersikap rasis dan jika ada, hanya segelintir sahaja yang begitu. 

"Tapi percayalah, di bumi Malaysia ini ada anak-anak Cina yang berjiwa Malaysia," katanya. 

Abdul Hadi yang mengambil giliran sebagai penceramah kemudian menjelaskan mengapa PAS mengambil pendirian menyokong calon MCA di PRK Tanjung Piai. 

Anggota Parlimen Marang itu berkata, orang Islam boleh hidup aman dan bekerjasama dengan semua bangsa. Jika ada sebarang masalah, ia boleh ditangani melalui kontrak sosial yang ada. 

"Calon MCA ini mewakili kita semua, bukan satu kaum sahaja," katanya. 

Menurut laporan MalaysiaKini, ketika Abdul Hadi berucap, sesetengah penyokong MCa kelihatan beredar dari kawasan ceramah. 

Pada PRU-14 lalu, MCA menunjukkan prestasi yang sangat buruk apabila hanya Ka Siong sahaja yang menjadi satu-satunya calon MCA berjaya ke Dewan Rakyat berbanding 39 kerusi yang ditandingi. 

Di peringkat DUN pula, MCA hanya menang dua daripada 90 kerusi yang ditandingi.

Sumber: MalaysiaKini