Budak patah kaki akibat dipijak kekasih ibunya kerana tidak berhenti menangis


Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan polis kerana didakwa menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun sehingga mengalami patah paha kaki kanan. 

Dalam kejadian yang berlaku pada 27 November 2019 di Denpasar, Indonesia, mangsa mengalami benjol di kepala, luka akibat dicekik di bahagian leher, luka di bahagian kemaluan dan patah tulang di bahagian paha kanan. 

Suspek yang disyaki telah ditahan polis untuk membantu siasatan. 

Siasatan mendapati, ibu mangsa, Khofifah Dwi Rahmadhani membawa anaknya ke rumah tumpangan suspek pada jam 10.30 malam dan mengamanahnya untuk menjaga mangsa. 

Ketika ditinggalkan, mangsa menangis tak berhenti. Suspek cuba menenangkannya, tetapi tidak berjaya. 

Bengang dengan keadaan itu, suspek memukul mangsa bertubi-tubi termasuk kepala, leher dan kemaluannya, sebelum memijak paha mangsa sehingga patah. 


"Suspek mengaku memijak kaki mangsa kerana tidak tahan mendengar suara tangisannya selepas gagal menenangkan kanak-kanak itu," kata polis.