'Jangan buat lagi!' - Tertuduh ke-5 dedah Zulfarhan menjerit ketika dia tekap seterika wap ke kaki


Tertuduh kelima dalam kes bunuh Zulfarhan Osman Zulkarnain, Mohamad Shobirin Sabri, 23, mengakui menekap seterika wap ke badan mangsa sekali sahaja secara spontan. 

Mohamad Shobirin menjelaskan, perbuatan itu dilakukan di bahagian kaki mangsa seseorang menyerahkan seterika wap itu kepadanya. 

"Pada 22 Mei 2017, 4.30 pagi, saya pergi ke bilik 4-10, blok penginapan asrama Jebat dan saya ada dengar beberap orang sedang menyoal siasat Zulfarhan mengenai kes kecurian barang di blok asrama itu. 

"Selang beberapa minit, saya ingin keluar daripada bilik itu kerana kebetulan waktu itu saya mahu bersiap untuk solat Subuh di masjid. 

"Ketika mahu keluar dari bilik, seseorang yang saya tidak pasti menyuruh saya menggunakan seterika wap kepada Zulfarhan dan saya secara spontan menggunakan seterika itu kepada Zulfarhan sekali sahaja. 

"Selepas itu saya meletakkan seterika itu di atas meja dan terus kembali ke bilik saya," katanya. 

Pada sesi soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim, Mohamad Shobirin mendedahkan Zulfarhan menjerit "Jangan buat lagi" dan menarik kaki serta menepis ketika dia menekap seterika itu di bahagian kaki mangsa. 

Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan perbicaraan bersambung pada 26 Februari 2020. 

Sumber: Harian Metro