Video itu mengundang pelbagai reaksi negatif netizen yang bengang kerana beranggapan tugas ambulans adalah lebih penting untuk menyelamatkan nyawa pesakit, tetapi terpaksa memberi laluan kepada golongan VIP.
Akibatnya, ramai netizen yang melemparkan tohmahan dan caci maki terhadap VIP terbabit. Tetapi tidak kurang juga ada yang bersangka baik dan menganggap rombongan VIP itu membantu ambulans berkenaan keluar dari terus terperangkap dalam kesesakan yang disebabkan pengguna yang mementingkan diri.
Semalam, Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan tampil memberi penjelasan mengenai video itu dan menafikan dakwaan yang tidak berasas itu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, rombongan menteri itu sebenarnya memintas ambulans itu untuk membuka jalan bagi membantunya melepasi keadaan trafik yang teruk di lebuh raya itu.
"Apa yang berlaku ialah sebuah ambulans telah tersangkut di jalan itu dalam keadaan trafik yang sangat sesak.
"Outrider DBKL yang mengiringi kenderaan menteri telah memintas ambulans itu untuk membuka jalan bagi membolehkan ambulans dan kenderaan rombongan menteri melepasi kesesakan itu.
"Hasilnya, kereta menteri dan juga ambulans berjaya melepasi kesesakan itu dan berjalan dengan lancar selepas laluan dibuka oleh anggota trafik DBKL," katanya.
Difahamkan, kejadian itu berlaku pada jam 9.15 pagi di Jalan Istana, Kuala Lumpur pada 4 Disember lalu.
Sumber: China Press, MalaysiaKini