(Video) 'Ini yang kita mahukan, respect KJ!' - Khairy jumpa Veveonah, mohon maaf bagi pihak kerajaan


Enggan melihat isu ini menjadi lebih panjang dan memburukkan imej kerajaan, Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tampil menyampaikan permohonan maaf kepada Veveonah Mosibin bagi pihak kerajaan. 

Khairy yang berada di Kota Kinabalu, Sabah hari ini bagi menghadiri hari pengumuman calon PN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, sempat bertemu dengan penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS). 

"Sempat bertemu Veveonah di UMS. Saya telah mohon maaf kepada beliau dan ibu bapa beliau bagi pihak kerajaan.

"Saya juga telah cadangkan untuk Veve berkerjasama dengan Yayasan Inovasi untuk membangunkan projek inovasi di kampung beliau dalam pemeliharaan alam sekitar," katanya di Twitter. 


Sebelum berlepas ke Sabah, Khairy sempat ditemubual oleh wartawan Channel News Asia, Melissa Goh, mengenai isu Veveonah.

Jelas Khairy, tindakan dua pemimpin kerajaan berkenaan dalam menangani isu tersebut adalah cuai dan bodoh, sekali gus memalukan kerajaan.

Ini kerana katanya, timbalan menteri berkenaan bukan sahaja membuat kesilapan yang tidak sepatutnya, malah menunjukkan diri mereka kurang cerdik membuatkan pemimpin lain terpaksa tampil menyelesaikan masalah itu. 

Sementara itu, netizen memuji tindakan Khairy yang tampil menjernihkan keadaan, bukannya mengeruhkan lagi keadaan dengan mengeluarkan kenyataan demi kenyataan yang akan memakan diri. 






Sumber: Khairy Jamaluddin, Melissa Goh