317 kes baharu positif Covid-19, tak perlu PKP kerana semuanya terkawal

Malaysia hari ini mencatatkan 317 kes baharu positif Covid-19 yang melibatkan penularan dalam negara, menjadikan ia jumlah kes harian tertinggi dalam tempoh 24 jam direkodkan. 


Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, satu kematian turut dilaporkan di Tawau, Sabah dan tiga kluster baharu di Kedah dan Selangor. 


Kesemua kes baharu itu membabitkan 303 kes warganegara dan baki 14 bukan warganegara. 


Dalam 317 kes, hanya 37 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September adalah 176 kes. 


Sementara itu, Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada keperluan untuk kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara walaupun kes menunjukkan peningkatan yang tinggi. 


Ini kerana kebanyakan kes itu melibatkan tahanan penjara di Kedah dan Sabah, yang terasing dari komuniiti. 


Selain itu katanya, tiada keperluan untuk membuat sekatan rentas negeri atau daerah. 


Ismail meminta rakyat tidak panik dan jangan ambil lewa dan rasa selesa selagi vaksin tidak ditemui. 


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga memberi jaminan keadaan akan terus terkawal dan kerajaan akan menguruskan penularan wabak Covid-19 dengan baik. 


Muhyiddin memberi jaminan, tahap kesiapsiagaan negara berada pada tahap tertinggi dan mampu menghadapi penularan wabak itu seperti yang pernah dilalui sebelum ini. 


Rakyat diseru untuk bertenang menghadapi situasi ini dan membudayakan norma baharu serta mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan. 


Sumber: Bernama