Usahawan produk kosmetik yang disimbah dengan air sirap gara-gara membuat live Facebook sehingga menimbulkan rasa kurang senang pelanggan lain, semalam tampil memaklumkan dia telah membuat laporan polis.
Muhammad Solihin Abdullah, 21, membuat laporan itu di Balai Polis Bukit Puchong pada jam 7.21 malam Isnin 12/10/2020.
Berdasarkan laporan itu, Solihin menegaskan dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang masih mengaib dan memfitnahnya.
"...ke atas diri dan juga perniagaan saya serta sekiranya terdapat netizen masih mengaibkan dan menyebar fitnah berkaitan hal ini saya akan mengambil tindakan undang-undang."
Bagaimanapun, bahagian yang dikaburkan dalam laporan polis itu mula menimbulkan persoalan netizen.
Di Facebook, Solihin memberi amaran kepada netizen untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan fitnah yang akan memberi kesan terhadap perniagaannya.
"Jangan memandai-mandai membuat sebarang spekulasi. Tindakan saman malu akan diambil pada semua yang berkaitan.
"Bila dah buat fitnah macam-macam, lakonan la, apa la, ia akan memberi kesan buruk dan negatif dengan imej dan reputasi perniagaan saya!!!
"Tindakan saman malu akan saya jalankan kepada YouTuber-YouTuber yang edit dan memandai-mandai menambah cerita yang tidak benar. Ramai yang cakap saya berlakon, tapi tak apa. Kita tunggu dan lihat je," katanya yang turut memuat naik video dirinya bersama dengan Abang Sirap berada di Balai Polis.
Sementara itu di Facebook Abang Sirap atau nama sebenar Ridhuan Wan juga membuat live Facebook malam tadi memohon maaf kepada Solihin di atas kejadian yang berlaku.
Difahamkan, Ridhuan membuat dua laporan polis di mana salah satunya adalah laporan yang menyatakan dia memohon maaf kepada Solihin, manakala laporan yang kedua tidak didedahkan tetapi dibuat terhadap satu pihak yang berkaitan dengan kes ini.
"Saya dah move on sekarang. Saya dengan Solihin pun dah okay, dua-dua minta maaf di balai tadi di depan pegawai polis. Dengan kedai makan terbabit pun dah tak ada masalah.
"Saya minta maaf bukan kerana saya takut ke apa, tak. Saya minta maaf tu sebab hanya orang yang berani dah buat salah dia pergi minta maaf balik. Itu prinsip saya," katanya.
LAPORAN BERKAITAN