Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mendapat sokongan lebih dari 120 Anggota Parlimen dan bukti itu disertakan dalam dokumen yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada pertemuan pagi tadi.
"Saya pohon semua pihak beri ruang kepada Agong menunaikan tanggungjawab mengikut lunas Perlembagaan dan budi bicara untuk menelaah dokumen dan memanggil ketua parti mengesahkan (dokumen).
"Ia mencecah lebih dari 120. Tapi oleh kerana YDPA akan memanggil ketua-ketua parti, maka munasabah untuk kita bersabar, memberi ruang untuk YDPA memutuskan.
"Ini bukan soal kemenangan, tetapi memohon kita dapat tegakkan negara yang adil dan maju," katanya.
Anwar mengadakan sidang media khas bagi menjelaskan isi pertemuannya dengan Seri Paduka Baginda dan menjawab soalan-soalan dari pihak media.
Jelas Anwar, pentadbiran Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Muhyiddin sudah jatuh dan memberi jaminan kerajaan baharu yang bakal diterajuinya kelak akan menjaga hak semua warganegara dan majoriti pemimpinnya adalah Muslim dan bumiputera.
Sumber: MalaysiaKini, Harian Metro