'Lebih selesa tinggal seorang diri dalam tempoh PKPB' - Alasan hantar anak & isteri balik ke kampung

Kelmarin kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dari 14 hingga 27 Oktober 2020. 


Arahan itu dikeluarkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang saban hari menunjukkan peningkatan kes. 


Di kesempatan itu juga, ada sesetengah orang mengambil keputusan untuk pulang atau menghantar anak dan isteri ke kampung.


Perkara itu mendapat perhatian pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menegur perbuatan golongan ini yang dilihat sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. 


Beliau berkata, pelaksanaan PKPB adalah bagi memastikan rakyat di tiga wilayah berkenaan duduk di rumah untuk keselamatan diri dan memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.


Bukannya pulang ke kampung dan merisiko orang tua di mana anak-anak sepatutnya melindungi orang tua masing-masing dari terkena wabak berbahaya ini.


Namun, ada penjawat awam yang memberikan alasan lebih selesa tinggal seorang diri dan anak serta isteri lebih selamat berada di kampung. 


"Kalau tinggal seorang diri di Kuala Lumpur, tidak bimbang sangat. Malah saya boleh bergerak sendiri ke mana sahaja dengan mematuhi PKPB serta SOP yang ditetapkan," kata seorang penjawat awam di Kuala Lumpur yang juga menambah, tempoh PKPB yang dilaksanakan belum diketahui sama ada dilanjutkan atau tidak. 


Sementara itu, seorang warga kota pula memberikan alasan dia bimbang dengan keselamatan anak dan isterinya.


"Dalam keadaan ini, saya bimbang dengan kesihatan serta keselamatan anak dan isteri jika tinggal bersama saya di Kuala Lumpur. Adalah lebih selamat saya hantar mereka tinggal di kampung," katanya. 


Di media sosial, ada netizen yang membidas tindakan golongan terbabit. 


"Eh? Aku pun staff kerajaan kat Putrajaya juga tapi otak takde la bengong nak balik mengeram kat kampung. Kau tak fikir ke dok berusung anak bini dari Selangor balik kampung tu boleh buat Covid-19 ni merebak ke negeri lain pula? Memalukan geng Putrajaya je la kau ni," kata netien. 


"Sudahlah datang dari red zone, kalau ditakdirkan anak bini positif selepas 3-4 hari balik kampung, macam mana? Habis satu rumah atok nenek kena kuarantin. 


"Buat lagi haru, ada kes kematian, tak pasal-pasal kena minta kebenaran polis balik ke kampung. Itu pun kalau dapat. Kalau tak dapat, mulalah jaja cerita sedih di Facebook pula," kata netizen 2. 


Baca pandangan netizen di Facebook dan Instagram The Reporter


Sumber: Harian Metro


LAPORAN BERKAITAN